MELAKA: Speaker
Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Mohamad hari ini mengarahkan
Ketua Pembangkang Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh) keluar dewan dan
tidak dibenarkan menghadiri persidangan itu hari ini.
Othman membuat keputusan itu setelah
mendapati Khoo melanggar peraturan dewan dengan mengingkari arahan
Speaker supaya duduk selain berterusan menyerang Ketua Menteri Datuk
Seri Idris Haron yang sedang menjawab soalan tambahan Khoo mengenai isu
rasuah di negeri ini.
Keputusan itu juga menyebabkan dua lagi
anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP iaitu Tey Kok Kiew (Bandar
Hilir) dan Lai Keun Ban (Kota Laksamana) bertindak keluar dewan bagi
membantah keputusan tersebut.
Terdahulu, Khoo dalam soalan tambahannya
ingin tahu berhubung status projek dan pegawai awam yang terlibat
dengan kegiatan rasuah di negeri ini.
Idris menjawab pegawai terlibat diambil
tindakan mengikut prosedur perkhidmatan awam antaranya ditukar jawatan
dan tempat bertugas.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat
memberikan maklumat mengenai status projek terlibat kerana tidak masuk
campur dalam urusan melibatkan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Khoo bagaimanapun tidak berpuas hati
dengan jawapan itu dan berterusan menyerang Idris hingga tidak
mempedulikan arahan Othman untuk duduk bagi memberikan ruang kepada
Idris memberikan penerangan lanjut mengenai isu tersebut.
Sementara itu, ketika menjawab soalan
lisan (soalan asal) Tey mengenai bilangan kes rasuah melibatkan penjawat
awam dan langkah diambil mengatasi gejala tersebut, Idris berkata 16
pegawai kerajaan di negeri ini terlibat dengan kes rasuah antara 2010
hingga tahun lepas.
“Kerajaan negeri Melaka sentiasa
bekerjasama dengan SPRM Melaka dalam melaksanakan program pencegahan
rasuah secara terancang dan berterusan. Program pencegahan rasuah
dilaksanakan bukan sahaja tertumpu kepada sektor awam tetapi juga sektor
lain,” katanya.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan