Ahad, 4 Disember 2016

Tebing runtuh: Penduduk Ayer Keroh Heights cemas

Tebing runtuh: Penduduk Ayer Keroh Heights cemas
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berdiri di atas runtuhan tebing batu kapur. - Foto Sinar Harian
 
 
MELAKA TENGAH - Penduduk di Lorong Utama 2, Ayer Keroh Heights di sini berhadapan detik cemas apabila  tebing bukit yang terletak enam meter dari rumah masing-masing runtuh dalam kejadian petang semalam.

Runtuhan yang dikatakan berlaku selepas hujan itu turut membabitkan bongkah batu pada bukit jenis batu kapur di hadapan lima kediaman teres setingkat, dipercayai dihuni 16 penduduk dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam.

Menurut Penghulu Dun Ayer Keroh, Mohd Azizan Daud, runtuhan itu adalah yang kedua berlaku dalam tempoh 24 jam selepas sebatang pokok pada tanah tebing itu menyembah bumi dan hampir menghempap kediaman penduduk, kira-kira jam 3 pagi.

"Lima buah rumah kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan 16 penduduk daripada tiga keluarga hanya akan dipindahkan sekiranya Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan kawasan ini tidak selamat diduduki.

"Sebuah rumah dihuni 17 warga Myanmar sudah dikosongkan dan saya dimaklumkan mereka yang bekerja di kilang berdekatan perumahan di sini berpindah sementara ke rumah rakan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Azizan berkata, kerja-kerja pembersihan kawasan terbabit pula akan dilakukan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sekiranya JKR mengesahkan tebing bukit batu kapur itu tidak membahayakan.

"Saya diberitahu penduduk,  sebuah pokok dari tebing bukit setinggi kira-kira 20 meter tumbang ketika mereka sedang tidur awal pagi tadi (semalam) dan kemudian dibersih sebelum berlaku runtuhan batu kapur lewat petang," katanya.

Sementara itu, difahamkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) sudah bersedia untuk membuka pusat pemindahan sementara di Dewan Kasturi Ayer Keroh jika penduduk terpaksa dipindahkan dalam masa terdekat

Tiada ulasan: