Selasa, 1 November 2016

KALAU TIDAK BERSALAH, KENAPA NAJIB SENDIRI PADAM GAMBAR ANAK TIRINYA?

shahbudindotcom


Menurut kata Rizal Mansor, pembantu kepada Rosmah Mansor, penyertaan ahli keluarga Najib Razak dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke China adalah bersesuaian dengan amalan kebiasaan budaya masyarakat Cina dan keinginan negara itu menjalinkan keakraban melalui hubungan peribadi dan kekeluargaan.

Kata beliau, jarang untuk Najib membawa ahli keluarganya menyertai lawatan rasmi ke sesebuah negara, tetapi kali ini mahukan anak-anaknya ada bersama kerana lawatan panjang selama seminggu ke China.
 
 
 
 
Apatah lagi, katanya,  penyertaan dalam lawatan rasmi itu setelah mendapat jemputan khas untuk membawa keluarganya.

Rizal juga menambah, budaya menjalin hubungan melalui kekeluargaan itu dikuatkan lagi dengan peribahasa lama Cina yang menyebut apabila minum air, fikirkanlah punca air tersebut.

Sejak malam semalam, heboh di media sosial mengenai penyertaan Riza Aziz, anak tiri Najib yang sedang disaman oleh Jabatan Kehakiman AS, yang didapati turut serta dalam lawatan rasminya kali ini.

Gambarnya turun dari tangga kapal terbang sedang berjalan di belakang Rosmah mengundang rasa jengkel banyak pihak seolah-olah beliau individu penting dalam kerajaan Malaysia sehingga wang pembayar cukai digunakan untuk membiayainya.
 
 
 
 
Dilaporkan bahawa seorang lagi anak Najib, Norashman juga turut serta dalam lawatan rasminya ke China itu.

Di laman Facebook dan Twitter Najib pada awalnya ada disertakan tulisan mengenai ketibaannya ke China beserta gambar yang turut memaparkan wajah anak tirinya itu.

Namun demikian, setelah banyak kritikan serta cemuhan kedengaran, termasuk Rafizi Ramli yang membangkitkannya dalam ucapan di Parlimen hari ini, gambar Riza di laman Facebook Najib didapati sudah dicrop atau dipotong, manakala tulisan di Twitter pula dipadam terus.

Tindakan memotong gambar Riza di Facebook Najib itu menjadi berita dalam portal Malaysian Mirror, manakala pemadaman tulisan di Twitter pula dikesan oleh Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam tulisannya di laman tersebut.

Jika benar penyertaan anak-anaknya adalah atas jemputan kerajaan China dan kerana menghormati budaya mereka, mengapa Najib memotong gambar anak tirinya dan memadam tulisan di media sosial miliknya?
 
 
 
 
Tidakkah dengan berbuat demikian, ia menunjukkan Najib sendiri rasa bersalah kerana membawa anak-anaknya itu, terutamanya Riza Aziz dan kemudian memadamnya kerana tidak mahu gambar mereka dilihat oleh sesiapa?

Dalam hal ini, Rizal yang memberikan penjelasan yang direka-reka atau Najib yang akhirnya didapati tidak menghormati budaya masyarakat Cina kerana bertindak mengenepikan ahli keluarganya sendiri yang dijemput secara rasmi oleh negara China? 


Tiada ulasan: