Selasa, 30 Ogos 2016

‘Tak perlu rahsia tarikh PRU14’

Pilihanraya
Pilihanraya - Gambar hiasan


IPOH - DAP Perak menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan segera tarikh PRU14 bagi memudahkan semua parti membuat persediaan yang sewajarnya.

Timbalan Pengerusinya, V Sivakumar berkata, kuasa penuh terletak pada Najib meskipun Perlembagaan memperuntukkan kuasa terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh sebenar PRU14.

“Walaupun SPR diberikan tanggungjawab untuk menentukan tarikh sebenar PRU14 namun ia hanya akan dilaksanakan selepas pembubaran Parlimen diumumkan perdana menteri.

“Kuasa SPR hanya terhad untuk menentukan tarikh sebenar pilihanraya iaitu dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Rakyat dan Dun dibubarkan,” katanya, dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada keperluan merahsiakan tarikh PRU14 kerana ia jelas merosakkan amalan demokrasi yang berasaskan prinsip saksama.

“Ia juga disifatkan satu amalan yang melanggar hak demokrasi berparlimen dan bersikap tidak adil kepada blok pembangkang,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak menolak tindakan merahsiakan tarikh PRU14 itu merupakan satu muslihat untuk terus mengekalkan BN selaku kerajaan yang memerintah.

“Taktik ini merupakan muslihat kerajaan untuk mengadakan pilihan raya pada ketika yang paling sesuai bagi pihaknya. Perbuatan tidak adil ini turut menjadi penyumbang kepada kemenangan BN pada PRU terdahulu,” katanya.

Katanya, transformasi yang dilaung-laungkan Najib juga tidak bermakna sekiranya perkara itu tetap dilakukan.

“Transformasi yang dilaung-laungkan itu adalah tidak bermakna jika  sistem demokrasi negara tidak dipulihkan dengan segera,” katanya

Tiada ulasan: