Rabu, 31 Ogos 2016

Chong Wei kongsi rasa dengan Siti Hasmah

MALAYSIAKINI


Diraikan dengan penuh gemilang jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei ternyata menyediakan tempat istimewa di hatinya untuk seseorang yang dekat dengannya - Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sebentar tadi Chong Wei berkongsi kegembiraannya memenangi pingat perak Rio de Janeiro bersama bekas penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu.

Melalui gambar yang dikongsi anak Dr Siti Hasmah - Marina Mahathir, di Facebook, isteri bekas perdana menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima kehadiran Chong Wei untuk meraikan kejayaan tersebut.

Sebelum ini Chong Wei, berjaya menumpaskan musuh tradisinya Lin Dan dari China di peringkat separuh akhir badminton perseorangan lelaki.

Sayangnya, pemain kelahiran Pulau Pinang itu terpaksa akur apabila tewas kepada seorang lagi jaguh China iaitu Chen Long pada perlawanan akhir.

Satu daripada gambar dikongsi Marina menunjukkan Siti Hasmah mengalungkan pingat dimenangi Chong Wei itu di lehernya sambil mereka berdua mengangkat ibu jari.

Sekeping lagi gambar menunjukkan Chong Wei menerima hadiah senaskhaj buku berbalut kemas daripada Hasmah sambil mereka kelihatan sedang berbual.

Semakan Malaysiakini mendapati perkongsian Marina itu disukai lebih 49,000 pengguna Facebook dengan lebih 3,500 kali perkongsian dilakukan selepas kira-kira satu jam dimuat naik.

Tiada ulasan: