Oleh Muhammad Asyraf Azlan
SHAH ALAM: Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN), Anuar Tahir
mempersoalkan bagaimana Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz
tergamak mengaitkan penubuhan parti itu dengan perumpamaan 'arak' dan
'mabuk'.
Nik Abduh hari ini mendakwa DAP terlalu angkuh apabila memberikan
'arak' dan 'memabukkan' segelintir ahli PAS sehingga mereka bertindak
keluar parti dan menubuhkan PAN.
Selepas Muktamar PAS kali ke-61 (2015), sekumpulan pimpinan parti itu
bertindak keluar parti dan menubuhkan PAN selepas hilang kepercayaan
kepada kepimpinan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Alangkah buruknya tafsiran itu, tidak sepatutnya keluar daripada mulut
seorang Ketua Pemuda sebuah parti Islam dengan membawa perumpamaan
'mabuk','arak'.
"Kenapa sebuah parti Islam sekarang ini pemimpinnya daripada peringkat
atasan sampai pimimpin pertengahan telah begitu biasa dengan perkataan
yang kotor, cemar, berbaur maksiat dan dulu perkataan barua, babi,
anjing dan istilah yang buruk ini keluar daripada mulut seorang daie
Islam," katanya ketika dihubungi Antarapos di sini hari ini.
Nik Abduh dilaporkan berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke yang menuduh beliau
sebagai angkuh apabila meminta PAS Pusat mengkaji untuk mengambil semula
semua kerusi yang 'dipinjamkan' kepada DAP dan PKR pada Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengusul cadangan berkenaan selepas PAS
tidak lagi menjalinkan tahaluf siyasi dengan DAP dan tidak menggotai
pakatan pembangkang yang baru, Pakatan Harapan (PH).
"Siapakah yang memecahkan PAS sampai setengah ahli PAS mabuk, pindah
jadi PAN? DAP yang beri arak kepada mereka sehingga mereka tubuhkan PAN.
Itu tanda DAP angkuh," kata Nik Abduh pada sidang media Pemuda PAS di
Kelantan Trade Centre, sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-57, petang
tadi.
Mengulas lanjut, Anuar menyifatkan gaya pertuturan Nik Abduh tidak
membayangkan dirinya sebagai agamawan sebaliknya pemimpin parti Islam
yang penuh kebencian.
"Walaupun dengan bersemangat sekarang dengan berkeris dan bertanjak
jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang begitu menuduh dengan
mengaitkan parti politik lain, menunjukkan sikap kebencian, bermusuhan
yang luar biasa.
"Sangat emosional tidak profesional bagi seorang Ketua Pemuda lepasan
sebuah Univerisiti Islam luar negara yang ketika marah dan kesal dengan
sesuatu sampai tergamak mengeluarkan perkataan-perkataan demikian,"
ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan