Rabu, 29 Jun 2016

Kren Tumbang Di Jalan Titiwangsa, Pemandu Bas Nyaris Terkorban

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas berdepan pengalaman ngeri apabila sebuah kren dari kawasan pembinaan berhampiran Jalan Titiwangsa di sini tumbang dan hampir menghempap bas yang sedang dipandunya.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang Selasa, Idris Ham , 49, yang memandu bas Rapid KL menghala ke ibu negara bersama kira-kira 30 penumpang terkejut apabila kren tersebut nyaris-nyaris terkena tempat pemandu bas berkenaan.

"Kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan pantas. Waktu itu saya hanya ingat mati kerana besi kren hampir mengenai bahagian atas tempat saya memandu.

"Ketika kejadian, kira-kira 30 penumpang turut berada dalam bas ini dan mereka semua terkejut," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata pihaknya menerima laporan itu pada 7.15 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

"Sejurus selepas itu, saya mengerahkan tujuh anggota dari Balai Bomba  Setapak ke tempat kejadian untuk memantau dan membantu mengalihkan kren tumbang itu," katanya.

Azizan berkata dalam kejadian itu dua kereta turut terjejas tetapi tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

Tiada ulasan: