KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan mengesahkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menyentuh soal tahaluf siyasi dengan PKR dalam sesi Amanat Presiden, malam tadi.
"Itu (tahaluf siyasi dengan PKR) tidak disebut. Itu belum ada," katanya ketika ditemui media selepas majlis tersebut tamat.
Katanya, selain mendengar amanat daripada Abdul Hadi, pimpinan juga menjawab beberapa tohmahan yang disuarakan perwakilan.
"Sesetengah itu dia kata muktamar tahun ini tidak dibuka kepada media. Jadi, tadi (semalam) saya telah jelaskan.
"Kita telah keluarkan 198 pas daripada 42 agensi berita dan blog untuk esok. Muktamar kita terbuka kepada awam dan media. Itu penting," katanya.
Sebelum ini, hubungan Pas dengan PKR agak tegang susulan perebutan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar.
Sementara Muslimat Pas dalam Muktamarnya petang semalam meluluskan usul tanpa bahas yang menggesa Pas Pusat mengkaji semula tahaluf siyasi dengan PKR.
Dalam pada itu, Takiyuddin memberitahu Abdul Hadi ada menyentuh soal isu dalaman parti serta halatuju Pas dari segi budaya politik matang dan sejahtera.
Takiyuddin juga menegaskan tiada sebarang perbincangan mengenai usul yang dikemukan sayap-sayap dalam majlis tersebut.
Sementara Abdul Hadi ketika diminta mengulas tentang perjalanan majlis Amanat Presiden itu enggan memberi sebarang komen.
Sebelum berlalu meninggalkan pihak media yang menanti seawal 9 malam, Abdul Hadi hanya sempat berkata, "esok...esok (hari ini)."
Pagi ini, Abdul Hadi akan menyampaikan Ucapan Dasar pada majlis perasmian Muktamar Pas Pusat ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa.
Sementara sesi perbahasan akan bermula di sebelah petang sebelum bersambung keesokan harinya dan ditangguhkan pada hari sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan