Khamis, 2 Jun 2016

Pesara tentera lapor polis individu jual 900,000 nama

Othman menegaskan beliau tidak mewakili mana-mana pihak.


pesara-tentera


KUALA LUMPUR: Seorang pesara tentera membuat laporan polis berhubung dakwaan pengaturcara komputer sambilan, Azharuddin Othman @ Abdullah telah menjual 900,000 nama dan nombor kad pengenalan dalam usaha untuk menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Othman Ab Majid, 65, berkata beliau turut membuat laporan polis terhadap individu bergelar ‘Ratu Naga’ atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah yang didakwa membeli pangkalan data berkenaan.

“Saya memohon siasatan dijalankan oleh pihak polis terhadap tandatangan yang dipalsukan Azharuddin dan Ratu Naga atau individu lain terhadap rakyat Malaysia yang disenaraikan dalam Deklarasi Rakyat.

“Yang kedua pencurian data yang disenaraikan dalam Deklarasi Rakyat dan siasat dalang terlibat untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Othman yang telah berkhidmat dengan TUDM selama 23 tahun turut menegaskan beliau tidak mewakili mana-mana pihak.

Jelasnya, tujuan membuat laporan polis itu kerana beliau tidak mahu negara ini diganggu gugat pihak yang ingin mengucar-ngacirkan keamanan negara.

“Saya baca Malaysiakini, penipuan tandatangan itu untuk Deklarasi Rakyat. Saya rasa bertanggungjawab kerana saya bertanggungjawab mengamankan Malaysia.

“Jadi, susah payah waktu itu saya rasa tak guna kalau negara kita ini dikucar-kacirkan oleh satu pihak yang berkepentingan,” tegasnya.

Pada 26 Mei lalu, Azharuddin tampil dengan akuan berkanun mendakwa didatangi Ratu Naga yang ingin membeli pangkalan data mengandungi 900,000 nama pada harga RM5,000.

Ratu Naga bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya pernah berhubung dengan Azharuddin, apatah lagi membeli pangkalan data yang mengandungi 900,000 nama dan nombor kad pengenalan untuk Deklarasi Rakyat.

“Dengan nama Allah saya tak kenal dia langsung. Ini fitnah. Tapi saya tergamam sebab dia boleh bersumpah kenal saya,” kata Ratu Naga.

Tiada ulasan: