“JIKA dalam hati ada perasaan ragu-ragu dan waswas sama ada kedai itu halal atau tidak, lebih baik jangan pergi,” kata Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berhubung kesahihan status halal sesuatu makanan.
Menurutnya, keraguan yang timbul dalam diri seseorang boleh membawa kepada hukum haram sekiranya hidangan itu dimakan.
Katanya, pengguna Islam perlu yakin tanpa ada keraguan walaupun sedikit dengan mengambil beberapa langkah dan tip termasuk memastikan kedai itu memiliki sijil halal.
“Biasanya kedai atau restoran akan pamer logo halal di pintu masuk. Jika masih ragu-ragu, semak kesahihan sijil dengan Jabatan Agama Islam negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Sekarang sudah mudah untuk dapatkan maklumat kerana kita boleh semak secara online melalui telefon bimbit tetapi ada juga sesetengah kedai yang tiada logo halal. Maka kita kena lihat pula siapa pemilik dan pekerja, adakah orang Islam atau sebaliknya dan apa jenis makanan dijual kerana dibimbangi bercampur dengan makanan tidak halal,” katanya.
Beliau turut meminta pemilik restoran yang bukan beragama Islam memohon sijil halal sekiranya mahu menjual kepada pengguna Islam.
Menurutnya, keengganan berbuat demikian membuktikan wujud keraguan pada bahan yang digunakan.
“Pengguna Islam perlu bijak membuat keputusan sebelum makan di mana-mana kedai dan restoran yang tiada logo halal. Jika ragu-ragu, lebih baik jangan pergi kerana boleh jatuh hukum haram,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan