Sabtu, 2 April 2016

'Najib akan guna taktik keras untuk terus berkuasa'

Anne Muhammad


 


Bekas setiausaha politik Datuk Seri Najib Razak, Dr Oh Ei Sun percaya perdana menteri akan menggunakan taktik politik keras untuk terus mengekalkan kuasanya.

Katanya, antara cara yang telah digunakan Najib adalah dengan memecat sesiapa sahaja yang membangkangnya termasuk bekas timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya fikir Najib dapat bertahan (memimpin negara) sebab dia sudah dalam politik dekat 40 tahun. Jadi dia juga sangat pandai menggunakan pelbagai tektik politik yang sangat keras dan sebagainya

“Seperti memecat mereka yang bangkangnya dan sebagainya dan dia ada juga kemampuan dari segi itu,” katanya kepada Malaysiakini selepas majlis di Nanyang Alumni Association Malaya hari ini.

Najib kini diserang pelbagai kritikan berikutan terpalit dengan skandal 1MDB, isu derma dari Arab Saudi dan juga sikap boros dalam berbelanja.

Mengulas perkara itu, Oh yang pernah berkhidmat dengan Najib hampir tiga tahun berkata bahawa bekas bosnya itu seorang yang budiman, teguh dan tabah dalam menghadapi sebarang kritikan.

“Najib yang saya kenal seorang yang sangat gentleman teguh dan tabah. Jadi semua ini gelombang-gelombang dapat dia atasi.

“Tapi saya fikir dia dapat tahan (kritikan) sebab dia sudah dalam politik dekat 40 tahun,” katanya.

Oh ketika diminta mengulas mengenai isu derma yang berada di akaun bank peribadi perdana menteri berkata, ketika beliau berkhidmat dengan Najib perkara itu tidak pernah timbul.

Oh juga diminta mengulas mengenai 1MDB yang semakin hari semakin banyak pendedahan yang dibuat berhubung syarikat pelaburan negara yang diilhamkan oleh Najib itu yang dikaitkan dengan salah laku.

“Sepatutnya 1MDB melabur dalam bidang yang strategik, melabur untuk ekonomi negara atau membantu golongan tak bertuah.

“Kalau ia disalah gunakan seperti yang dituduh, memang tak senonoh.

“Dulu tak pernah dengar. Kita Cuma dengar pendedahan seperti ini pada tahun dulu WSJ sebelum itu langsung tak pernah dengar,” katanya.




Tiada ulasan: