Khamis, 28 April 2016

Pilihanraya Sarawak: Segerakan pembinaan jambatan di Kanowit - Penduduk

Tan Su Lin, Astro Awani
 
Pilihanraya Sarawak: Segerakan pembinaan jambatan di Kanowit - Penduduk
Kanowit juga masih memerlukan kemudahan asas lain seperti jalan raya khususnya di kawasan luar bandar Kanowit. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
 
 
KONOWIT: Penduduk Kanowit di Sarawak amat berharap agar projek pembinaan jambatan bagi menghubungkan Kanowit dan Kapit dapat disegerakan demi kemudahan mereka.

Buat masa ini mereka terpaksa bergantung kepada jalan sungai yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan pengangkutan bot panjang.

Ada penduduk yang mendakwa hampir setiap kali pilihan raya, mereka mendengar tentang janji kepada rakyat di Kanowit iaitu merealisasikan projek berkenaan. Kali ini diharapkan sokongan mereka dapat diterjemahkan kepada kemudahan yang amat diperlukan itu.

Buat masa ini mereka terpaksa bergantung kepada jalan sungai yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan bot panjang. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Buat masa ini penduduk di Kanowit terpaksa bergantung kepada jalan sungai yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan menggunakan bot panjang. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin

Menurut Deveson Thomas, 43, sudah dua kali upacara memecah tanah dilakukan sebelum ini, namun belum ada kerja-kerja bermulanya pembinaan jambatan itu sehinggalah baru-baru ini.

"Seboleh-bolehnya harapan kami penduduk Kanowit, pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Kanowit boleh dipercepatkan lagi. Saya berharap janganlah untuk gimik politik sahaja.

"Kalau boleh selepas pilihan raya projek itu diteruskan lagi. Jangan hangat-hangat tahi ayam," katanya.

Dalam pada itu seorang penduduk, Benjamin Angki berharap dengan terbinanya jambatan itu nanti ia akan memberi manfaat kepada penduduk Kanowit dan mereka yang tinggal di kawasan berdekatan.

"Jambatan yang menghubungkan Kapit dan Kanowit ini dijangka siap pertengahan Jun 2017 dan melihat kepada kadar pembinaan jalan itu dibina saya yakin ia dapat siap mengikut jadual ditetapkan.

"Apabila siap nanti lebih ramai penduduk dari kawasan seperti Ngemah, Poi, Song dan Kapit akan datang ke kawasan ini dan sekaligus menyaksikan tempat ini makin berkembang," katanya dengan yakin.

Menurut Lasu Anak Luta, 36, Kanowit juga masih memerlukan kemudahan asas lain seperti jalan raya khususnya di kawasan luar bandar Kanowit.

"Setakat ini kemajuan Kanowit agak memuaskan. Walau bagaimanapun bagi penduduk di pedalaman Kanowit masih memerlukan banyak infrastruktur terutama sekali jalan raya untuk menghubungkan kawasan-kawasan di bahagian luar bandar dengan kawasan Kanowit ini. Tidak semua tempat di Kanowit boleh dihubungkan dengan jalan raya," katanya.

Penduduk Kanowit berharap projek pembinaan jambatan bagi menghubungkan Kanowit dan Kapit dapat disegerakan untuk kemudahan mereka. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin
Penduduk Kanowit berharap projek pembinaan jambatan bagi menghubungkan Kanowit dan Kapit dapat disegerakan untuk kemudahan mereka. - Foto Astro AWANI / Tan Su Lin

Antara mereka adalah Entebong Anak Betau, 61, yang mendakwa penduduk masih tidak ada kemudahan jalan yang menghubungkan pekan Machan, Kanowit dengan rumahnya di kampung Ulu Machan.

"Sebagai orang yang tinggal di luar bandar saya berharap jalan itu dipercepatkan. Sudah 38 tahun kami menunggu jalan itu dibina namun sampai hari ini pun belum lagi bina," katanya yang terpaksa menaiki perahu untuk berulang alik dari kampung ke pekan.
Pada 27 Mac lalu, dalam lawatannya ke Kanowit, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinannya sentiasa bertekad memastikan segenap lapisan rakyat khususnya masyarakat di pedalaman dapat mengecapi nikmat kemajuan negara.

Menurutnya, secara keseluruhan Kerajaan Pusat sudah memperuntukkan RM800 juta untuk pelbagai projek pembangunan luar bandar di Kapit dan Kanowit.

Terdapat dua kerusi Dewan Undangan Negeri di daerah ketika ini iaitu N49 Ngemah dan N50 Machan yang menjadi rebutan dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-11.

Proses pengundian bakal berlangsung 7 Mei ini. 
 
 

Tiada ulasan: