Selasa, 1 Mac 2016

Pendedahan terbaru WSJ: Najib terima RM4.2 bilion, bukannya RM2.6 bilion

tony arab

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Akhbar The Wall Street Journal hari ini mendedahkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak berjumlah lebih dari USD1 bilion (RM4.2 bilion) dan bukan sekadar USD681 juta (RM2.6 bilion).

Sehubungan itu, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata Perdana Menteri perlu menolak dakwaan akhbar Amerika Syarikat itu dan menerangkan butirannya kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia jika ia adalah laporan yang dituduh palsu dan berniat jahat seperti didakwanya sebelum ini.

“Najib perlu memberi butiran jelas mengenai wang itu, lebih-lebih lagi WSJ mengatakan sumber maklumat itu datang dari dua negara yang sedang menyiasat skandal kewangannya.

“Malah, laporan WSJ mengatakan wang itu berasal dari 1MDB – dan bercanggah dengan kenyataan Peguam Negara bahawa ia diderma oleh kerabat diraja Arab Saudi,” katanya di sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mencadangkan Najib untuk mengambil tindakan terhadap akhbar berkenaan jika dakwaan itu tidak benar, termasuk membuat saman kesalahan fitnah di Amerika Syarikat.

“Jika tindakan tidak boleh diambil terhadap WSJ di Malaysia, maka beliau boleh lakukannya di Amerika Syarikat. Kenapa beliau tidak saman WSJ?” katanya.

WSJ mendakwa Najib menerima lebih dari AS$1 bilion dalam akaun peribadinya, termasuk wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang didakwa telah ‘dibersihkan’ Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dengan mendakwa ia adalah sumbangan keluarga diraja Arab Saudi.

Tony berkata, Apandi pula perlu menerangkan sumber dan ke mana perginya baki wang AS$1 bilion itu kerana beliau sebelum ini hanya menyebut perihal AS$681 juta.

“Apandi perlu menerangkan bagaimana wang sebanyak itu boleh dideposit ke dalam akaun peribadi Najib. Jika sebelum ini ia kononnya datang dari penderma Arab Saudi, mungkinkah kali ini ia datang dari penderma Pakistan?” katanya.

Beliau berpendapat sudah tiba masa Apandi membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima bantuan badan kehakiman bagi mendedah kebenaran berhubung skandal melibatkan Perdana Menteri itu. – Roketkini.com

Tiada ulasan: