Selasa, 1 Mac 2016

DAP sedia kerjasama dalam “grand coalition” demi selamatkan Malaysia

dapdap

Oleh Fatih Hassan Nordin


KUALA LUMPUR: Demi menyelamatkan negara daripada belenggu skandal dan krisis berpanjangan, DAP menggesa semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik, kaum dan fahaman untuk bersatu di bawah satu gabungan raya atau “grand coalition”.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, menjelaskan pakatan besar itu bukan dan tidak sama dengan idea “Kerajaan Perpaduan” yang dipelopori dua parti kaum Melayu terbesar negara, UMNO dan PAS, kerana cadangan “grand coalition” ini akan menjadi gabungan yang berusaha ke arah satu tujuan yang sama, iaitu menyelamatkan Malaysia.

Untuk menjayakan gabungan baru itu, beliau berkata, ia harus mempunyai ciri-ciri sebuah kerajaan yang berdaya maju dan mampan yang merentas kaum, agama, budaya dan wilayah.

“Tambahan pula, ia harus ada visi dan program yang berpandangan hadapan untuk mengembalikan kejayaan negara dan memberi laluan kepada rakyat untuk menjayakan segala aspek kemanusiaan, sama ada politik, ekonomi, sosial, pendidikan, sukan, teknologi maklumat dan persekitaran.

“(Grand coalition ini) bagi membentuk sebuah negara cemerlang yang bebas rasuah yang mana ia mempertahankan kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia,” ucapnya dalam satu sesi retreat Ahli Majlis DAP Selangor di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Tambah beliau, DAP sedia untuk bergabung dengan mana-mana individu dan rela melupakan kisah lama demi dasar bersama untuk menyelamatkan negara daripada terus menjadi sebuah negara yang gagal dan dipecahbelahkan oleh pemimpin yang korup.

“Saya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mempunyai dasar (Selamatkan Malaysia) dan melupakan perkara yang lalu, termasuk dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam satu agenda yang sama untuk menyelamatkan Malaysia,” jelas beliau.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Dr. Abdul Aziz Bari, yang turut menyokong gagasan Kit Siang, menyatakan gabunganraya itu wajar dilaksanakan bagi menyelesaikan kemelut yang berterusan dihadapi negara, sekaligus membuka satu jalan baru untuk negara bergerak daripada pengalaman pahit itu.

Katanya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak semakin goyah berikutan masalah dalaman UMNO di mana parti itu menggantung Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala Dr Mahathir mengejutkan arena politik tempatan dengan mengumumkan keluar UMNO atas alasan parti itu sudah menjadi menjadi milik Najib sematga-mata.

Aziz yang juga pakar Perlembagaan Persekutuan berkata, setiap Ahli Parlimen harus bertanya diri sendiri sama ada mereka yakin dengan kepimpinan Najib atau mahu mandat diberi semula kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang lebih baik dalam pilihanraya umum yang baru.

“Apa yang berlaku kepada negara sangat melampau dan tidak mampu ditanggung rakyat….Sudah tiba masanya Ahli Parlimen memikirkan mengenai pakatan itu,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: