KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa
melepaskan semua jawatan atas lantikan kerajaan berikutan pembabitan
beliau dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Silam, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur bimbang wujud unsur
sabotaj memandangkan bekas perdana menteri itu membentuk kerjasama
menerusi Deklarasi Rakyat bersama pembangkang.
"Mahathir sudah tidak mempunyai kepercayaan terhadap pimpinan perdana
menteri. Sudah semestinya beliau perlu bersifat 'gentleman' lepaskan
jawatan di GLC yang dimiliki kerajaan," katanya.
Datu Nasrun ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan
Rakyat pada petang tadi juga percaya tindakan Dr Mahathir secara
tiba-tiba rela bekerjasama dengan pembangkang dan kumpulan tertentu juga
bertujuan mahu menjatuhkan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang memimpin
negara sejak dari dahulu.
Mahathir memegang beberapa jawatan di atas lantikan kerajaan antaranya
penasihat kepada syarikat automotif nasional, Proton dan Petronas.
"Kita tak mahu jawatan dipegang wujud unsur sabotaj. Saya pasti bila Dr
Mahathir sanggup kerjasama dengan pakatan (pembangkang) sudah pasti
mereka mahu tumbangkan kerajaan.
"Matlamat menghalalkan cara ini menyukarkan urusan kerajaan dan merosakkan imej Malaysia di mata pelabur," katanya.
Supaya perkara lebih buruk tidak berlaku, Datu Nasrun meminta Najib
segera mengambil tindakan menamatkan khidmat Mahathir yang mendapat
lantikan kerajaan.
Jumaat lalu, Mahathir mengenepikan pendirian politiknya selama ini
apabila bersama pembangkang menandatangani Deklarasi Rakyat yang
bertujuan menjatuhkan Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan