Khamis, 17 Mac 2016

Usul tidak percaya terhadap peguam negara disalahtafsir Pandikar, kata Wan Azizah

MALAYSIA DATELINE


Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan IsmailDatuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapati  Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia  memberikan alasan kurang tepat terhadap usul tidak percaya yang dikemukan beliau terhadap Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.
Beliau berkata, beliau menerima surat maklum daripada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa usul tidak percaya terhadap Peguam Negara yang difailkan pada 25 Februari yang lalu telah ditolak.

"Selepas meneliti surat tersebut, saya dapati usul saya ditolak atas dua alasan. Alasan pertama ialah usul bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan sebab mempertikaikan kuasa Peguam Negara di bawah Perlembagaan maka tidak wajar dibincangkan dalam Dewan Rakyat. Alasan kedua ialah Dewan Rakyat tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kedudukan jawatan Peguam Negara.

"Saya mendapati alasan-alasan yang diberikan oleh Tuan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak tepat dan merupakan salah tafsiran usul saya. Usul saya memang mengkritikan keputusan-keputusan Peguam Negara membubarkan Pasukan Petugas Khas Peringkat Tertinggi 1MDB, menutup siasatan Bank Negara dan mengarahkan SPRM menutup siasatan terhadap kes derma RM 2.6 bilion sebagai keputusan yang tidak munasabah dan tidak bertanggung jawab.

"Kesimpulan usul saya ialah Dewan Rakyat telah hilang kepercayaan kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali." terangnya.

Beliau berkata, Tan Sri Pandikar Amin Mulia seharusnya membenarkan isu yang membabitkan dana awam, reputasi Perdana Menteri dan imej negara dibahaskan dalam Dewan Rakyat atas prinsip demokrasi berparlimen dan landasan penambahbaikan parlimen yang didukung oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat sendiri.

"Keputusan ini akan melemahkan lagi fungsi parlimen sebagai institusi bebas dan berkecuali daripada pihak eksekutif yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia.

"Dengan ini saya menyeru agar Yang Dipertua Dewan Rakyat meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam usaha penambahbaikan parlimen. Saya akan menghantar surat rayuan kepada Tan Sri Yang Dipertuan dalam masa terdekat ini," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Presiden Parti Keadilan Rakyat ini lagi budi bicara Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding di Mahkamah yang diberikan dibawah Perkara 145 Perlembagaan bukan satu budi bicara yang muktamad.

"Prinsip ini telah ditetapkan di keputusan Mahkamah. Rujuk kes Pengarah Tanah dan Galian , Wilayah Persekutuan lwn Sri Lempah Enterprise ( keputusan Raja Azlan Shah, Ketua Hakim masa itu di 1979 );
kes Rosli Dahlan lwn Tan Sri Abdul Gani Patail & ors yang telah disahkan di Mahkamah Rayuan pada April 2015 dan juga keputusan Mahkamah Rayuan di Singapura iaitu Law Society of Singapore lwn Tan Guan Huat di 2007. Saya petik satu quote daripada kes di Singapura, yang diungkapkan oleh Ketua Hakim Chan Sek Keong seperti di bawah yang sangat jelas:

“The discretionary power to prosecute under the Constitution is not absolute. It must be exercised in good faith, for the purpose it is intended,ie. to convict and punish offenders, and not for an extraneous purpose.”

"Jadi, walaupun kuasa itu diberikan kepada Peguam Negara dibawah Perlembagaan, kegunaan kuasa itu boleh dipertikaikan. Usul saya tidak harus dikata bertentangan dengan Perlembagaan." jelasnya.

Berkaitan dengan alasan kedua, usul beliau, Wan Azizah menerangkan beliau tidak meminta Dewan membuat keputusan memecat Peguam Negara.

"Adalah amat jelas perlantikan Peguam Negara adalah oleh Yang diPertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Jadi apabila Tan Sri Gani Patail dipecat pada tahun lepas dan diganti oleh Tan Sri Apandi Ali, ini semua dilakukan atas arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri yang pada hemat saya, semuanya merupakan satu keadaan kepentingan yang bercanggah ( conflict of interest ) bagi beliau sebab Perdana Menteri sendiri adalah antara orang yang disiasat.

"Usul saya memohon untuk keputusan Dewan tidak ada kepercayaan terhadap Tan Sri Apandi Ali.

Keputusan ini, sekiranya dilulus oleh Dewan, akan membantu Perdana Menteri dengan keputusan sama ada hendak kekalkan kedudukan Peguam Negara atau berhentikan dia seperti yang dibuat kepada Tan Sri Gani Patail," ujar Ali Parlimen Permatang Pauh ini.

Tiada ulasan: