Khamis, 17 Mac 2016

Kereta pelakon Remy Ishak dilarikan depan kedai serbaneka

BERNAMA




Seorang pelakon, Zalimie Ishak atau lebih dikenali sebagai Remy Ishak terpaksa berputih mata apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya dilarikan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam kelmarin, Remy Ishak, 34, dikatakan meletakkan MPV jenis Mitsubishi Triton di hadapan tempat meletak kenderaan kedai serbaneka itu untuk membeli barangan keperluan, tanpa mengunci kenderaan dan mematikan enjin.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razimi Ahmad berkata mangsa yang keluar dari kedai serbaneka itu enam minit kemudian mendapati kenderaannya tiada di tempat meletak kenderaan.

"Hasil siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup di premis itu, kita mengesan seorang suspek lelaki yang tidak dikenal pasti menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna putih dengan nombor pendaftaran yang tidak jelas, melarikan kenderaan mangsa.

"Kejadian itu merupakan kecuaian yang dilakukan oleh tuan punya kenderaan walaupun kenderaan tersebut dilindungi insurans. Siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan kenderaan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Razimi berkata orang ramai perlu memastikan pintu kenderaan dikunci dan enjin dimatikan sekiranya mahu membuat sebarang urusan sebelum meninggalkan kenderaan.

Sementara itu, Remy Ishak ketika dihubungi Bernama berkata kejadian itu berlaku semasa beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjalani latihan teater Cindua Mato di Istana Budaya.

"Saya kemudiannya singgah di kedai berdekatan untuk membeli ais kerana kaki bengkak akibat terseliuh semasa latihan itu. Saya tidak sangka kenderaan itu hilang selepas keluar dari kedai," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan.

"Saya rasa terkilan memandangkan barang-barang berharga seperti pakaian, kasut berjenama dan peralatan elektronik yang ditinggalkan dalam kereta turut lesap".

Terdahulu, Remy Ishak dalam akaun Twitternya memuat naik status memaklumkan mengenai kehilangan keretanya,"Saya baru kehilangan kereta 30 minit yang lalu. Mitsubishi Triton, hitam. Nombor pendaftaran WSB 7332 sila sebarkan. Terima kasih."- Bernama


Tiada ulasan: