Khamis, 17 Mac 2016

Hubungan Pas dengan PKR tidak terjejas

 Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim


KUALA LUMPUR - Penubuhan blok politik ketiga antara Pas dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) tidak akan menjejaskan hubungan parti Islam itu dengan rakan komponennya, PKR.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hubungan parti itu dengan PKR masih kekal seperti mandat dalam Muktamar Pas yang lalu.

"Saya fikir tiada masalah sebab kita masih pembangkang. Bukan bersama kerajaan. Blok ketiga adalah bersama pembangkang.

"Saya fikir dia (PKR) tidak perlu rasa (kecil hati) sebab kita masih dalam muafakat, kategori pembangkang," katanya ketika ditemui selepas pengumuman penubuhan blok politik ketiga antara Pas dengan Ikatan, hari ini.

Beliau juga menafikan pihaknya ada melanggar apa-apa perjanjian dengan PKR dalam menjalin kerjasama politik dengan Ikatan.

"Saya fikir ini...sebab PKR pun buat kerjasama dengan DAP dan Amanah," katanya.

Menurutnya lagi, blok politik ketiga itu diwujudkan untuk mana-mana pihak yang mahu bersama dengan Pas yang boleh menerima dasar parti Islam itu.

"Supaya kita tidak melihat politik ini hanya dua wajah..hitam atau putih. Mesti ada pilihan ketiga yang perlunya kita perkasakan.

"Kita yakin banyak lagi parti lain yang berpandangan sama seperti kita," katanya.

Ketika ditanya tentang kelebihan Ikatan hingga menjadi pilihan hati Pas, Tuan Ibrahim berkata, parti pelbagai kaum itu menerima dasar yang diperjuangkan Pas.

"Parti Ikatan ini melihat kepada generasi akan datang. Apa yang dibawa oleh Ikatan ini hampir sama juga dengan perjuangan Pas. Jadi, kalau sudah mula sama, lebih baik duduk bincang bersama. 

"Mungkin Ikatan tidak ada kekuatan keahlian..tapi bagi kita, mana-mana parti yang mempunyai hala tuju yang sama, marilah bersama," katanya.


Tiada ulasan: