Isnin, 21 Mac 2016

Kerajaan P. Pinang nafi sisih agensi persekutuan

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo


GEORGETOWN - Kerajaan negeri tidak pernah menganaktirikan agensi persekutuan kerana sudah meluluskan lapan daripada 15 projek dipohon Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd (JKP).

Exco Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, walaupun penjelasan diberi berulang kali namun Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan sengaja membangkitkannya seperti budak kecil yang tidak tahu perkembangan semasa.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan pegawai Perda dan JKP untuk menyelesaikan isu berbangkit.

"Pulau Pinang tak pernah menganaktirikan agensi persekutuan malah saya, pegawai Perda dan JKP saling berhubung bagi menyelesaikan isu yang berbangkit sehingga projek mereka diluluskan. Tak kan dia tak tahu apa yang pegawai dia sedang lakukan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tidak perlu soal status PR1MA di Pulau Pinang‎]

"Kita hanya memberi kelulusan jika pemaju terbabit mengikut syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan pertandingan sepak takraw Piala YB Jagdeep Singh di Jalan Makloom di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Rahman dalam sidang medianya berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak perlu mempersoalkan status Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) jika agensi persekutuan di Pulau Pinang tidak diberi layanan yang sepatutnya.

Menurutnya, Perda dan JKP dilayan seperti anak tiri oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, enam daripada lapan projek JKP dan dua dari tujuh projek Perda diluluskan sebelum ini manakala tujuh lagi masih dalam pertimbangan.

Beliau berkata, antara punca tidak diberi kelulusan ialah harga rumah mampu milik yang ingin dibina oleh agensi berkenaan tidak munasabah.

Jagdeep berkata, 15 projek yang dipohon kedua-dua agensi itu dikatakan mempunyai 9,600 unit rumah mampu milik tetapi semakan mendapati bukan 100 peratus rumah jenis itu yang  dibina.

"Kita dapati rumah mampu milik dijual dengan harga RM1.8 juta di bahagian pulau dan RM800,000 di tanah besar.

"Adakah ini yang dimaksudkan dengan mampu milik? Harga itu tidak boleh diterima dan tidak diluluskan," katanya.


Tiada ulasan: