Isnin, 21 Mac 2016

Bantu gelandangan tak kira bangsa

Bantu gelandangan tak kira bangsa
Sukarelawan menghantar makanan kepada gelandangan.
 


IPOH - Selepas menonton tayangan video yang memaparkan kehidupan gelandangan, seorang wanita tergerak hati untuk membela nasib kumpulan itu.

Susan Ho Sue Fun, 29, mula berjinak-jinak dengan program Pay It Forward Ipoh (PIFI) yang membantu gelandangan melalui sumbangan makanan dan minuman di sekitar bandar raya Ipoh secara percuma sejak April tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia pernah terlibat dengan kerja amal di Persatuan Kebangsaan Angin Ahmar Malaysia (Nasam), dan Persatuan Daybreak namun golongan gelandangan dilihat antara golongan yang jarang diberi perhatian.

Menyedari perkara itu, dia bersama seorang rakan menubuhkan PIFI dengan objektif memberikan makanan, minuman dan barangan keperluan asas kepada gelandangan.

Menurutnya, pada awalnya dia bersama seorang rakan menghantar sendiri makanan dan minuman kepada gelandangan dengan menaiki sebuah kereta.

Dia memberitahu, makanan yang diberikan itu dimasak sendiri oleh ibunya, Surine Chan Sow Kheng, 58, yang mengusahakan kedai makan ‘vegetarian’ berhampiran Stadium Perak sejak tiga tahun lalu.

“Pada mulanya, kami tidak menerima sumbangan daripada mana-mana pihak bagi melaksanakan perkara ini. Namun, selepas beberapa kali kami melakukannya, orang ramai mula tampil untuk menghulurkan bantuan.

“Antara cara saya menarik perhatian orang ramai adalah dengan menyediakan ruang khas di kedai makan ibu bagi memberi peluang mereka meletakkan mesej positif kepada gelandangan.

“Mesej itu kemudiannya diletakkan di dalam bungkusan makanan untuk tatapan gelandangan. Selain itu, segala aktiviti berkaitan PIFI turut diletakkan di ruang sama supaya memudahkan orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan menghubungi kami,” katanya.

10 sukarelawan pelbagai kaum terlibat

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, pada masa ini pihaknya berjaya mengesan 25 hingga 30 gelandangan yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas di pekan Ipoh.

“Kami mula mengedarkan makanan dan minuman seminggu sekali pada setiap Sabtu bermula jam 11 malam di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh, Medan Selera Dato Tahwil Azar, pekan lama dan beberapa kawasan sekitarnya.

“Makanan dan minuman ini diedar sukarelawan kami yang terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya doktor, peguam dan wartawan.

“Setakat ini, 10 sukarelawan lelaki dan wanita daripada pelbagai kaum sering turun padang untuk melakukan tugas mengedar makanan dan minuman,” katanya.

Dia berkata, pada musim perayaan, rezeki gelandangan ini berlipat kali ganda apabila ramai yang menyumbang.

“Ada dalam kalangan mereka beri peralatan membersihkan diri seperti ubat dan berus gigi serta sabun. Kami pula akan memberikan pakaian baru supaya gelandangan ini turut sama menikmati suasana perayaan,” katanya.

Gelandangan ada kisah hidup sendiri

Dalam perkembangan berkaitan, dia berkata, ada juga sesetengah pihak yang mempersoalkan keselamatan sukarelawan ketika menghantar makanan dan minuman.

“Tidak dinafikan, terdapat pihak yang anggap golongan gelandangan ini kotor dan menghina mereka tanpa mengetahui perkara sebenar.

“Melalui pengalaman, gelandangan yang ditemui mempunyai kisah tersendiri. Ada yang dibuang keluarga, diabaikan tanpa arah tuju malah ada juga yang memilih untuk menjadi gelandangan kerana puas hidup dalam keadaan itu.

“Kadang-kadang ada juga gelandangan menolak pemberian kami tetapi kebanyakannya gembira dengan kehadiran kami dan mengucapkan terima kasih kerana sudi membantu mereka,” katanya.

Hampir setahun penubuhan PIFI, dia berkata, ramai tampil memberi bantuan sama ada berbentuk barangan mahupun kewangan.

“Pada Disember tahun lalu, sekumpulan individu berbasikal dari Kuala Lumpur ke Ipoh untuk hantar 100 kotak mi segera serta baju dri-fit baru berjenama untuk diberikan kepada gelandangan di sini.

“Kami juga pernah menerima sumbangan kewangan berjumlah RM1,800 dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk gelandangan terbabit.

“Pernah juga kami tidak menerima sumbangan daripada orang ramai. Tetapi sukarelawan kami mengeluarkan duit poket sendiri untuk membeli makanan dan minuman supaya bantuan itu tidak terputus pada minggu itu,” katanya.

Beri penghargaan pada sukarelawan

Sempena ulang tahun pertama PIFI  10 April ini, Sue Fun bercadang beri baju-T kepada sukarelawan.
“Saya hargai jasa dan penat lelah sukarelawan yang tidak pernah meminta satu sen pun untuk kerja dilakukan.

“Saya harap dapat mengembangkan kerja amal ini di luar Ipoh bagi membantu golongan gelandangan yang memerlukan,” ujarnya.

Mereka yang ingin membantu PIFI boleh melawat ke www.facebook.com/payitforwardipoh atau hubungi Sue Fun di talian 011-1278 7268 atau hantar emel di alamat ipohpayitforward@gmail.com.

Tiada ulasan: