Khamis, 17 Mac 2016

Pas akan dapat manfaat daripada Ikatan

Pas akan dapat manfaat daripada Ikatan
Naib Presiden Ikatan, Tunku Muinuddin Putra


KUALA LUMPUR - Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menjelaskan Pas akan mendapat manfaat berguna dalam blok pembangkang ketiga yang secara rasminya ditubuhkan, semalam.

Naib Presiden Ikatan, Tunku Muinuddin Putra berkata, ini kerana parti baharu itu bakal mempunyai kekuatan daripada segi ahli yang berbilang kaum.

“Kami adalah parti bangsa Malaysia. Semua kaum akan terima. Pas pula parti berlandaskan Islam.

“Ia memberi kelebihan kepada Pas untuk memperluaskan lagi pengaruh mereka melalui kaum yang bukan beragama Islam,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas pilih Ikatan bentuk blok politik ketiga]

Mengulas lanjut pakatan kerjasama itu, Tunku Muinuddin berkata, ia merupakan satu pakatan strategik untuk menjadikan politik yang lebih matang di masa hadapan.

“Pada kami, Pas adalah parti tunjuang. Pas sudah kuat. Itu satu pakatan strategik.

“Apa yang jadi pada masa hadapan kita tidak tahu. Insya- ALLAH semuanya akan berjaya,” katanya.

Sementara itu, mengulas kekuatan dan peluang Ikatan dalam PRU14 nanti, Tunku Muinuddin berkata, belum masanya untuk menentukan dua aspek terbabit.

“Kami parti baharu. Banyak yang perlu kami pelajari daripada Pas. Kami bukan parti untuk PRU14. Kami adalah parti untuk generasi masa hadapan,” katanya.


Tiada ulasan: