Sabtu, 19 Mac 2016

Himpunan Selamatkan Malaysia, GST landasan rakyat desak Najib undur

Oleh Nadia Hanafi


matsabu


KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) sepakat untuk mengadakan dua program berasingan bagi menggembeling tenaga rakyat untuk menyelamatkan negara dari kemelut kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mohamed Sabu, perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Presiden pada 7 Mac lalu.

Dua program tersebut ialah Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia dan Demonstrasi Mansuh GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan).

Mohamed Sabu yang lebih dikenali Mat Sabu berkata, Pakatan Harapan menggariskan tiga tuntutan utama dalam program yang bertujuan untuk memfokuskan penyatuan rakyat ini.

Pertama, reformasi menyeluruh ke atas sistem dan institusi negara untuk memastikan kebebasan, keadilan dan keluhuran undang-undang dikembalikan selaras dengan prinsip pembahagian kuasa di antara tiga cabang kerajaan.

“Kedua, pembebasan segera Datuk Seri Anwar Ibrahim lantaran dari pemulihan sistem dan institusi negara mengambil kira pendakwaan politik ke atas beliau untuk menumpulkan kekuatan Pakatan Harapan.

“Dan ketiga, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dengan segera dan badan-badan yang bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas dan mendakwa beliau jika ada asas yang kukuh di sisi undang-undang,” kata Mat Sabu yang juga Presiden Amanah.

Hadir sama dalam sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang itu adalah Rafizi Ramli (Naib Presiden KEADILAN), Datuk Saifuddin Abdullah (Setiausaha Pakatan Harapan), dan Anthony Loke mewakili DAP.

Tiada ulasan: