Sabtu, 19 Mac 2016

70 tahun tunggu giliran tunai haji tunjuk kelemahan Tabung Haji

Oleh Nadia Hanafi


Tabung_Haji_Logo


KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyangkal jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang seolah-olah menuduh beliau menyebabkan jemaah terpaksa menunggu lama untuk membuat haji.

Jamil Khir pada sidang Dewan Rakyat semalam menyatakan, pendeposit Tabung Haji (TH) yang mengeluarkan deposit daftar haji bersama wang simpanan mereka, akan hilang giliran menunaikan haji sehingga 70 tahun.

Menteri Agama turut berkata, punca pendeposit mengeluarkan simpanan mereka kerana disebabkan percaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap TH baru-baru ini.

Rafizi berkata, Jamil Khir seperti cuba untuk menutup kelemahan TH yang gagal untuk mendapatkan kuota lebih untuk rakyat Malaysia.

“Jawapan beliau semalam tidak tepat dan cuba menyembunyikan kelemahan di pihak beliau sendiri dengan memberi gambaran seolah-olah timbal balik terhadap kedudukan kewangan TH adalah punca bakal haji terpaksa menunggu masa yang lama,” katanya.

“Tempoh masa yang lama tidak ada kena mengena dengan komen-komen saya mengenai Tabung Haji tetapi disebabkan kegagalan Kerajaan Malaysia mendapatkan kuota tambahan dari Kerajaan Arab Saudi,” kata Naib Presiden KEADILAN itu lagi.

Merujuk jawapan Jamil Khir, Rafizi berkata, seramai 2.023 juta pemegang akaun TH mendaftar untuk menunaikan haji sedangkan kuota haji setiap tahun hanya 0.1% sahaja (30,000 orang) dari jumlah penduduk Malaysia.

Oleh itu, beliau dengan sinis mengusulkan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berunding dengan Kerajaan Arab Saudi untuk meningkatkan kuota haji sehingga 50,000 setahun berikutan beliau didakwa mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan di sana.

“Jika keluarga DiRaja Saudi boleh mendermakan RM2.6 bilion kepada beliau, saya yakin beliau begitu rapat dengan keluarga DiRaja Saudi dan boleh mendapatkan pertambahan kuota haji bagi rakyat Malaysia,” kata Rafizi pada sidang media di lobi Parlimen.

Tiada ulasan: