Isnin, 11 Januari 2016

TRW tiada alasan tidak cemerlang musim ini

The Red Warriors TRW


"TIADA lagi alasan untuk Kelantan tidak mempamerkan persembahan menakjubkan musim ini."
Demikian pandangan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mahizi Mahmood selepas Kelantan akan menerima tajaan yang bernilai jutaan ringgit daripada Pengasas Vida Beauty Qu Puteh, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, musim ini.

Menurut Mahizi, dana yang diperuntukkan itu perlu dimanfaatkan pemain Kelantan bagi melonjakkan semula prestasi The Red Warriors (TRW) untuk kembali digeruni dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2016.

"Melihat kepada jumlah penajaan itu sangat lumayan dan ini akan membantu Kelantan yang ketika ini masih bergelut dengan masalah kewangan.

"Saya juga percaya dengan tajaan ini, tiada lagi alasan untuk pemain TRW pamer aksi hambar dan mereka perlu membawa sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini kerana tajaan ini akan memberi suntikan semangat kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan usahawan kosmetik terkenal itu mencapai kata sepakat dalam rundingan penajaan pasukan bola sepak Kelantan pada musim ini.

Hasil perbincangan itu, Hasmiza akan membelanjakan sebanyak RM20 juta bagi memastikan skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (TRW) berada pada prestasi terbaik dalam tempoh dua musim, bermula musim ini.

Katanya, peruntukan itu termasuk RM16 juta untuk menaja pasukan Kelantan, selebihnya RM3 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk kempen promosi manakala RM1 juta bagi menganjurkan Liga Datuk Seri Vida Pamoga Qu Puteh di peringkat sekolah, daerah dan negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Mahizi turut memberitahu, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya musim ini pasukan Kelantan dikenali dengan gelaran Qu Puteh Pamoga The Red Warriors.

“Kami menyambut baik hasrat Dr. Vida untuk menaja Kelantan. Saya percaya Kelantan akan jadi lebih kuat pada musim 2016,” ujarnya.


Tiada ulasan: