Ahad, 17 Januari 2016

Suasana ekonomi negara mencemaskan kita

 
 
Kejatuhan harga minyak di pasaran antarabangsa ditambah dengan nilai Ringgit yang masih merosot memberi kesan besar kepada ekonomi dan ramai rakyat hilang pekerjaan
 
 
 
econikmy


Boboi berumur 26 tahun dan bekerja dengan syarikat industri minyak dan gas sejak tiga tahun lalu. Enam bulan lalu, dia diberhentikan kerja kerana syarikat mahu menjimatkan kos operasi. Sehingga kini dia masih menganggur dan mengharapkan gaji isterinya sebagai guru untuk meneruskan hidup.

Fadil pula diberhentikan kerja kerana tidak sehaluan dengan ketua jabatan di sebuah universiti swasta. Walaupun memegang ijazah sarjana tetapi dia masih tidak mendapat perkerjaan.

Amira pula telah setahun tamat penggajian dalam bidang fisioterapi tetapi masih menganggur. Dia telah memohon banyak kali tapi tiada kekosongan malah ada syarikat yang dimohon dalam proses mengurangkan pekerja.

Itu antara contoh beberapa kisah rakyat Malaysia yang sedang bergelut mencari pekerjaaan disebabkan iklim ekonomi Malaysia yang semakin menakutkan. Situasi mereka berbeza tapi masalah mereka sama – tiada peluang pekerjaan.

Walaupun kerajaan sering mengatakan ekonomi Malaysia baik dan terkawal, namun keadaan sebenar adalah sebaliknya. Di merata tempat, banyak kilang dan syarikat yang terlibat industri minyak dan gas misalnya, telah memberhentikan kerja besar-besaran.

Di kawasan industri di Pelabuhan Kemaman, Terengganu umpamanya, banyak syarikat dan kilang telah memberhentikan kerja sejak setahun lalu dan semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini, gara-gara tiada projek baru di bawah Petronas.

Perlukah kita merasa cemas dengan iklim ekonomi negara sekarang? Ya, kita berhak untuk merasa cemas dengan situasi ekonomi sekarang kerana harga minyak terus merosot. Ketika ini harga minyak di pasaran dunia USD30 setong. Sebahagian besar pendapatan negara bergantung kepada minyak. Dalam masa sama juga, nilai Ringgit kekal merosot.

Jika tidak serius, masakan kerajaan terpaksa menyemak semula Bajet 2016 disebabkan kejatuhan harga minyak yang akan dibentang 28 Januari ini. Bajet 2016 dirangka ketika harga minyak USD45 setong.

Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan sekurang-kurangnya 8,690 orang telah diberhentikan kerja sepanjang Januari hingga September 2015 melalui pelbagai skim akibat daripada keadaan ekonomi yang semakin parah.

Persekutuan Pekerja Malaysia (MEF) pula mengatakan 20,000 hilang kerja tahun lalu meningkat sekali ganda berbanding 2014. Trend itu menunjukkan ia akan berterusan sehingga 2016, dengan lebih banyak pekerja diberhentikan dan syarikat gulung tikar.

Statistik lain menunjukkan setakat September 2015, seramai 461,000 orang terpaksa menganggur, peningkatan sebanyak 22 peratus atau 84,000 orang berbanding bilangan penganggur pada September 2014.

Tahun 2016, dijangka ekonomi Malaysia akan bertambah mencabar. Malah, dijangkakan lebih ramai pekerja akan diberhentikan sekaligus menguatkan sebab mengapa kita perlu cemas.

Kaji selidik Randstad Workmonitor mendapati 13 peratus pekerja Malaysia bimbang tentang keselamatan kerja mereka pada 2015, meningkat dua kali ganda berbanding 6 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagi yang mempunyai pekerjaan, jangan terlalu yakin, ingatlah langit tidak selalu cerah. Ini bukan masa sesuai untuk bertukar kerja atau memilih kerja. Sentiasa amalkan sikap berjimat cermat dan menabung. Elakkan membazir dan berbelanja mengikut keperluan bukan kemahuan.

Kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan tidak boleh dipersalahkan kerana masalah ekonomi negara adalah disebabkan pengaruh kelembapan ekonomi dunia dan Malaysia tidak boleh mengawal ekonomi dunia.

Wahai kerajaan, ini bukan masa sesuai untuk menuding jari. Segeralah bertindak menyelamatkan ekonomi negara,

Sudah-sudahlah bermain isu politik. Rakyat sudah bosan dengan karenah dengan pembangkang. Isu utama sekarang bagaimana menyelamatkan ekonomi negara daripada terus merudum jika harga minyak terus jatuh. Tolong Selamatkan Malaysia!

Tiada ulasan: