Ahad, 17 Januari 2016

Perlukah Amanah ikut bertanding dalam PRN Sarawak?

MSO

 
Parti Amanah Negara (Amanah) menyatakan hasrat untuk ikut sama meletakkan calon pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang dijangka berlangsung sebulan dua lagi. Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Presidenya, Salahuddin Ayub (foto) dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kelantan.


Bagaimana pun jelas Salahuddin
parti itu belum menetapkan lagi kerusi mana yang hendak ditandingi. Tetapi tentulah ia di kerusi ada potensi untuk menang atau sekurang-kurang boleh menyelamatkan wang deposit.

Semestinya parti politik yang ditubuhkan, matlamat akhirnya ialah menyertai pilihan raya. Penyertaan dalam mana-mana pilihan raya untuk menentukan apakah sesebuah parti itu diterima atau tidak oleh rakyat. Tidak ada parti yang ditubuhkan tanpa menyertai pilihan raya. Dan parti yang berpendapat, ia mengharap keredhaan Allah meskipun kalah adalah juga parti "tidak sihat" dan songsang demokrasi. Parti yang berpendirian begitu lebih baik beralih kepada jemaah dakwah sahaja.

Umum tahu Amanah adalah parti baru. Ia lahir dari tulang rusak kanan parti agama Pas. Usianya masih setahun jagung. Dalam kata lain ia dalam proses menstrukturkan organisasinya. Amanah masih meniarak untuk merangkak. Menurut Salahuddin parti itu kini sedang memproses 100,000 keahliannya. Walaupun jumlah itu boleh dibanggakan tetapi ia masih belum mencukupi jika diukur dengan nisbah pengundi yang ada.

Sebagai parti baharu, Amanah belum ada tapak di mana-mana, kecualinya di beberapa kawasan yang mana pemimpinnya kebetulan menjadi Adun atau ahli Parlimen, seperti di Sepang, Shah Alam, Kota Raja, di Selangor, atau pun Kuala Kedah, di Kedah, dan juga bebeberapa kawasan di Johor. Di negeri-negeri lain seperti Pahang, Terengganu, Perlis, Melaka dan Negeri Sembilan walaupun sudah ada cawangan Amanah, tetapi ia tidak boleh digezet parti itu ada wilayah tertentu di situ.

Hatta di Kelantan sendiri walaupun sambutan kepada Amanah agak meriah dan membimbangi Pas, tetapi belum ada mana-mana kawasan yang boleh disifatkan sebagai "zone" Amanah di Kelantan. Khabar mengatakan ada lima hingga tujuh Adun dianggap sebagai mirit kepada Amanah, tetapi itu hanya usik-usikan siang hari sahaja. Hakikatnya Amanah tidak ada zone selesa di Kelantan buat masa ini.

Meskipun ada usaha untuk memancing Adun Salor Husam Musa menyertai parti itu, tetapi masih belum berhasil. Husam masih tetap istiqamah dengan Pas. Amanah akan baharu mendapat Husam sekiranya Pas Kelantan "menohoknya" kepada Amanah.

Bertolak daripada hakikat yang ada sekarang ini, adalah lebih baik kalau Amanah memberi tumpuan kepada penubuhan dan pengemasan organisasinya terlebih dahulu, daripada ikut sama menyibuk dalam PRN di Sarawak. Amanah perlu melancaran program membumi parti itu, mendekati rakyat di segenap lapisan. Buat masa ini tidak nampak apakah keperluan Amanah untuk ikut sama bertanding di sana pada waktu ini?

Apakah tujuan penyertaan itu bagi memberi ruang kepada Amanah untuk memperkenalkan dirinya kepada masyarakat di negeri Bumi Kenyalang itu? Kalau itulah niatnya, Amanah tidak pun perlu bertanding tetapi cukup untuk berada di pentas PKR dan DAP. Bukankah Amanah merupakan kompnen Harapan Baru? Amanah boleh menampilkan diri di pentas ceramah atau aktiviti kempen dua rakan mereka itu. Di samping berkempen untuk kemenangan PKR dan DAP, Amanah boleh mempromosikan dirinya.

Amanah boleh menggunakan medium kedua-dua parti itu untuk menjual dirinya. Amanah perlu menghebahkan kepada rakyat di negeri itu akan keperluan Amanah ditubuhkan dan apakahkan perbezaanya dengan Pas. Kalau Amanah itu dianggap sebagai Islam progresif, maka jelas dan ceritakan akan keprogresifan itu kepada rakyat di Sarawak. Amanah boleh menggariskan latar perjuangannya untuk masyarakat di Sarawak untuk masa depan.

Sudah pasti kalau Amanah ikut sama menyertai PRN, ia tidak dapat tidak akan menganggui Pas. Amanah harus terbuka dan bersikap profesional dalam hal ini dan menyerahkan kepada Pas untuk menggalas agenda Islam di Sarawak. Tidak dapat dielakkan kalau Amanah hendak meletakkan calon, pasti di kawasan yang didominasi oleh Pas. Pertembungan dan perebutan pengundi akan berlaku yang merugikan kedua-dua pihak.

Ambil contoh di Dun Beting Maro, kerusi yang sudah dibayangkan Amanah akan meletakkan calonnya. Dalam PRN dulu kawasan inilah satu-satunya kawasan yang hampir-hampir membawa kemenangan kepada Pas. Pas tewas dengan kekurangan 391 undi sahaja menerusi calonnya Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus. Abang Ahmad Kerdee kini sudah menyertai Amanah.

Sekiranya Amanah bertarung dengan Pas di kerusi ini, bukan sahaja Pas akan kecundang untuk kesekian kalinya, tetapi Amanah juga akan tewas. Sebabnya, penyokong kedua-dua parti itu adalah orang sama. Pertembungan serumpun sebegini perlu dielakkan.

Begitu juga di beberapa buah kerusi lain di sekitar Kuching dan Petrajaya. Ia mengalami keadaan yang sama di mana penyokong adalah dari kumpulan yang sama.

Justeru, apa yang paling baik bagi Amanah mereka tidak ikut sama bertanding dalam pilihan raya di Sarawak bagi mengelakkan berlaku pertembungan merugikan itu. Mungkin ada yang bertanya, apakah ia perlu dibiarkan kepada Pas? Jawabnya iya, kerana kalau Pas bertanding ia tidak pun merugikan Amanah. Bahkan sebagai parti yang mendokong aspirasi sama kalau calon Pas menang Amanah juga akan merasai kemenangan itu.

Perkara afdal dilakukan Amanah ialah menguat dan melebarkan pengaruh parti itu. Cari ahli seberapa banyak yang boleh dari kalangan anak-anak muda yang belum berparti. Ajak seramai mana golongan profesional menyertai parti tersebut. Menyertai pilihan raya dalam keadaan belum siapa siaga adalah satu tindakan yang kurang bijak dan akibat dari pilihan raya itu boleh melemahkan parti berkenaan. Jangan rugi sebelum menjual.

Adalah lebih baik Amanah menghimpun dan menyimpan sedikit sebanyak wang (termasuk wang deposit calon) yang ada bagi tujuan memperkasakan parti daripada ia akan hilang dalam pilihan raya berkenaan. Tidak lewat bagi Amanah untuk menunggu 10 atau 15 tahun lagi bagi menjadi parti yang dominan di Sarawak. Sebagusnya Amanah perlu menujukkan wibawanya di Semenanjung dahulu sebelum "berniaga" di Sarawak dan Sabah.

Tiada ulasan: