shahbudindotcom
Semakin
Najib cuba mencairkan hati rakyat dengan menunjukkan seolah-olah beliau
mempunyai persamaan dengan Tun Razak, yang menyerlah sebenarnya
hanyalah jurang perbezaan antara kedua-duanya.
Selain
banyak aspek perbezaan antara "anak dengan bapa" yang disingkap dalam
seminar sempena 40 tahun pemergian Bapa Pembangunan itu baru-baru ini,
mereka yang pernah bekerja dan mengenali Tun Razak lagi banyak
ceritanya.
Berbual-bual dengan mereka, tanpa ragu-ragu, terbuka dan lantang pasti akan terpacul suara, "langsung tak sama."
Antara DEB dan 1MDB saja sudah cukup menunjukkan bezanya bagaikan langit dengan bumi antara Tun Razak dengan Najib.
Maka,
sebagaimana yang diakui sendiri oleh Najib, patutlah Tun Razak tidak
menggalakkan beliau menceburi politik, sebaliknya hanya mahukannya
menjadi akauntan saja.
Selama
ini, cakap-cakap bahawa Tun Razak dikatakan lebih mahukan Ahmad Johari
menceburi politik dan bukannya Najib sudah pun lama diperbualkan, tetapi
tidak ada yang dapat mengesahkannya secara pasti.
Ini
kerana ia mungkin hanya diperbualkan antara Tun Razak dengan
orang-orang tertentu atau kenalan rapatnya saja. Kemungkinan lain ialah
mereka yang mengetahuinya tidak mahu mengungkit lagi hal itu berikutan
kedudukan Najib sudah menjadi Perdana Menteri sekarang ini.
Menyebutnya
lagi hanya seolah-olah mencalarkan nama baik Tun Razak serta
menunjukkan tidak semua perkara yang dimahukannya adalah betul.
Hakikatnya walaupun tidak digalakkan tetapi Najib berjaya menjadi
Perdana Menteri.
Tuah
menyebelahi Najib sebagai anak sulung dan bukan Ahmad Johari yang
merupakan anak kedua hanyalah kerana Tun Razak meninggal dunia lebih
awal dan secara mengejut disebabkan penyakit leukemia yang dideritanya.
Jika
umurnya lebih panjang, barangkali Tun Razak bukan saja sempat merancang
lebih banyak kebaikan untuk negara, tetapi juga mempunyai masa untuk
melatih pewarisnya yang betul-betul tepat untuk kita semua.
Alasan
Tun Razak bahawa Najib agak pendiam dan tidak sesuai untuk politik
tidak lebih sekadar alasan saja. Biasalah, orang tua selalunya banyak
kias ibaratnya dalam menolak sesuatu perkara dan mereka jarang berterus
terang untuk mengelakkan ada perasaan kecil hati.
Apabila
Najib sendiri mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak digalakkan
menceburi politik oleh ayahnya, bermakna Tun Razak sudah pun menyedari
ketidakmampuan anaknya dalam hal ehwal politik dan pentadbiran negara
sejak lebih 40 tahun dulu lagi.
Tun
Razak tentunya tidak risau dari segi kedudukan dan jawatan anaknya
dalam politik, tetapi lebih memikirkan masa depan rakyat dan negara di
tangan pewarisnya yang diketahui dan disedarinya sejak kecil ukur
mampunya.
Hari
ini, jangkaan Tun Razak dengan tidak menggalakkan Najib menceburi
politik, semuanya sudah menjadi nyata dan terbentang di depan mata kita.
Meskipun
berjaya menjadi Perdana Menteri, Najib lebih banyak membawa "sengsara"
berbanding "bahagia" sedangkan memberi kebahagiaan kepada rakyat dan
negara itulah pegangan asas bapanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan