Ahad, 17 Januari 2016

Kerajaan Selangor tak akan luluskan projek pelancongan di Batu Caves - Xavier

Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak akan meluluskan sebarang projek pembangunan baru di kawasan berdekatan Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves memandangkan ia tidak sesuai dibina.
 
ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata, ianya susulan keaadaan struktur tanah di sekitar kuil itu yang tidak berapa kukuh untuk dilaksanakan pembagunan.
 
"Kita telah membuat kajian dan kajian menunjukkan bahawa keseluruhan kawasan kuil itu tidak boleh diadakan bangunan yang besar, sebab itu apabila ada satu syarikat swasta hendak dirikan pangsapuri itu pun telah diberhentikan kerana keadaan kuil dan bukit sana yang dikatakan tidak berapa kuat. 
 
"Jadi ikutan itu, negeri telah membuat beberapa keputusan bahawa di dalam kawasan Batu Caves dan dekat kawasan itu tidak boleh diadakan pembangunan yang besar didirikan di sana," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau mengulas gesaan MIC yang mahu kerajaan Selangor memberikan kelulusan untuk projek pembangunan di kawasan kuil tersebut yang tergendala sejak beberapa tahun lepas, demi membantu sektor pelancongan negeri. 
 
Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata dua projek utama yang tergendala itu ialah pembinaan pusat kebudayaan India di Batu Caves dan projek pembinaan kereta kabel sepanjang 250 meter.
 
Bagaimanapun Naib Presiden PKR itu menegaskan kerajaan Selangor buat masa ini tidak akan meluluskan projek-projek pembangunan berkenaan.
 
"Tiada..tiada... (tidak menjadi kenyataan). Sampai sekarang kita tidak luluskan mana-mana pembangunan baru di dalam kawasan itu," katanya.
 
Ditanya lebih lanjut, sama ada kelulusan itu akan dipertimbangkan pada masa depan, Xavier bagaimanapun sekali lagi meminta supaya MIC menerima kenyataan dan realiti.
 
Tambahan katanya penduduk di kawasan itu majoritinya menolak pembangunan baru di situ.
 
"Ini bukan tergendala..ini bukan tergendala, ini mereka cadang untuk buat tetapi apabila kita cadang untuk buat 'ujian' dan macam mana hendak dirikan kereta kabel di sana itu dan juga aduan-aduan daripada penganut-penganut yang datang ke kuil Batu Caves itu katakan jangan ada apa-apa pmbangunan besar di sana sebab terganggu dengan keadaan kuil dan  kita nampak kuil dan mereka kata biarkan kuil macam itu sebab lebih selesa untuk orang-orang sembahyang dan sebagainya itu," katanya.
 
Xavier dalam pada itu mencabar MIC supaya mendapatkan referendum orang ramai dulu sebelum terus-menerus mengasak kerajaan Selangor dalam mendapatkan kelulusan untuk kedua-dua projek tersebut.
 
"Saya ingat kalau MIC berani, buat satu referendumlah di Batu Caves tengok orang India hendak kereta kabel atau tidak mahu.
 
"Saya ingat ramai yang tidak mahu apa-apa pembinaan di sana sekarang dan itu kuil kepunyaan kepada itu satu saudara dan ia punya keluarga," katanya.
 
Beliau dalam pada itu berkata, tambahan kuil itu adalah milik persendirian dan tidak ada kena mengena dengan kerajaan Selangor.
 
"Bukan kuil yang dijaga oleh masyarakat, itu Tuan Nadarajah dan keluarga dia punya kuil itu, dia yang hendak pengaruhkan, jadi pasal apa negeri hendak beri kuil-kuil kepada orang-orang yang pakai kuil itu sebagai kawasan sendiri, jadi digunakan oleh dia dan keluarga dia," katanya.
 
Untuk rekod, kerajaan Pusat telah meluluskan RM2 juta untuk pembinaan pusat kebudayaan itu pada 2012 tetapi projek itu sehingga kini tidak mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
 
Manakala MPS difahamkan menghentikan kerja pembinaan projek kereta kabel itu pada 6 Jun 2014 berikutan beberapa struktur pembinaan di sekitar Batu Caves dikatakan dibina tanpa kelulusan kebenaran merancang.
  


Tiada ulasan: