Sabtu, 16 Januari 2016

Kafa meterai perjanjian dengan Vida Beauty

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic


KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Jumaat memeterai kontrak perjanjian penajaan dengan Vida Beauty dan beberapa penaja lain.

Vida Beauty selaku penaja utama menaja pasukan berkenaan dengan nilai tajaan RM16 juta bagi dua musim.

Ini sekali gus pasukan yang sebelum ini dikenali sebagai The Red Warrior (TRW) kini dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQP TRW).

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida turut hadir dalam majlis berkenaan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, penajaan tersebut merupakan pelan tindakan demi membangunkan pasukan berkenaan setelah gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan pada musim lalu.

"Sebab itu susun pelan tindakan baru, cari rakan yang sanggup beriltizam.

"Ada puteri kayangan turun. Hasrat hati nurani beliau sendiri demi pasukan Kelantan, Datuk Vida sanggup jadi penaja utama. Ini suntikan semangat baru kepada pasukan," katanya ketika berucap di majlis menandatangani kontrak sebentar tadi.

Dalam pada itu ujar Annuar, Datuk Vida akan berperanan sebagai penasihat kehormat kepada Kafa dan bukan 'orang luar'.

"Vida ada idea luar biasa, daya keusahawanan sendiri dan bila lontarkan idea yang mungkin kebanyakan rasa ia kejutan peringkat awal.

"Saya boleh terima idea dia. Kreativiti Vida. Banyak idea yang dilontarkan. Segalanya tak ada masalah sebab Kafa ambil pendekatan mengambil Vida sebagai penasihat bukan orang luar," katanya.

Selain Vida Beauty, Kafa turut ditaja beberapa syarikat lain antaranya Adabi, Red One dan akhbar Sinar Harian.

Jumaat lalu, Vida Beauty bersama Kafa mencapai kata sepakat untuk menjadi penaja The Red Warriors, dengan pengurusan pasukan itu menerima dua syarat awal iaitu menukar cat Stadium Sultan Muhammad IV kepada merah jambu dan nama pasukan Kelantan ditukar kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.


Tiada ulasan: