KITA berada dalam satu keadaan di mana setiap hari yang berlalu membawa lebih banyak penderitaan kepada rakyat jelata.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, (Datuk Seri
Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone) Mohd Najib bin Abdul Razak telah
hilang kewibawaan dan autoriti moral untuk memerintah.
Mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional pada 5 Mei
2013 sudah tidak bermakna lagi kerana telah dipenyumbaleweng (pervert) oleh
Mohd Najib dan konco-konconya.
Tetapi beliau akan terus memerintah walaupun tahu
akibatnya kepada negara dan rakyat jelata. Untuk kelangsungan politik, beliau
sanggup menggunakan cara-cara yang tidak demokratik.
Beliau bukan tidak tahu bahawa tidak ada siapa lagi,
kecuali pemakan dedak, yang menyokong beliau secara tersurat. Secara tersirat
hanya Allah Taala saja yang tahu.
Yang kita baca dalam media sosial, ada di kalangan
pemakan dedak yang sudah goyang pendirian dan beralih taat setia. Kononnya
sungai wang makin kering dan keberkesanan mereka sedang dipersoalkan oleh
pemberi dedak.
Perdana Menteri dan jentera propaganda beliau mendakwa
skandal perniagaan atas angin 1MDB sudah selesai apabila dua aset utamanya –
penjana elektrik bebas (IPP) dan Bandar Malaysia - dijual kepada pemodal Negeri
China.
Tetapi, sejak 4 Januari lalu, apabila Bursa Malaysia
dibuka untuk tahun baru 2016, ia jatuh 3.53 peratus dalam masa sembilan hari
perniagaan. Hari ini ia jatuh 0.36 peratus lagi.
Menurut majalah The Economist, antara 31 Disember 2014
hingga 6 Januari lalu, Bursa Malaysia jatuh 5.3 peratus dalam nilai ringgit dan
24.6 peratus dalam nilai dolar Amerika.
Keyakinan Terus Merudum
Di kalangan pelabur, penganalisis pasaran dan agensi
penarafan naik turun pasaran saham adalah ukuran keyakinan pemodal terhadap
sesuatu perkembangan penting.
Kita tolak sebelah faktor luar kerana semua pasaran saham
terdedah kepada perkembangan peringkat antarabangsa. Kejatuhan berterusan Bursa
Malaysia membayangkan penolakan pemodal terhadap penyelesaian skandal 1MDB dan
kurang keyakinan kepada pemerintahan Mohd Najib.
Tidak cukup dengan penolakan pasaran saham, Mohd Najib
menderita tamparan mutakhir apabila agensi penarafan antarabangsa
Moody's (diperbetulkan) telah menyemak turun penarafan ekonomi Malaysia daripada
positif kepada stabil.
Pada aras stabil, kerajaan terpaksa membayar kadar faedah
yang lebih tinggi jika ia meminjam. Dalam keadaan di mana pendapatan kerajaan
semakin berkurangan akibat kejatuhan berterusan harga minyak mentah,
Perbendaharaan mungkin terpaksa berhutang.
Dasar fiskal Mohd Najib, khususnya penghapusan subsidi
dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), adalah bertujuan, antara
lain, mengambil hati agensi penarafan antarabangsa agar tidak merendahkan
penarafan Malaysia.
Yang sebaliknya berlaku. Rakyat jelata menderita, penarafan Malaysia jatuh juga.
Yang sebaliknya berlaku. Rakyat jelata menderita, penarafan Malaysia jatuh juga.
Kalau situasi kita hanya ada satu, harap-harap jalan
penyelesaiannya pun janganlah satu juga.
Hari ini, rata-rata orang berkata, penyelesaiannya
terletak kepada Pilihan Raya Umum (PRU).
Saya tidak begitu yakin. Apa yang saya khuatir adalah
menjelang tempoh itu negara kita sudah menjadi negara gagal (failed state),
rakyat jelata papa kedana dan usaha memulihkan ekonomi menjadi amat sukar.
Malah tidak ada jaminan bahawa PRU akan diadakan, dan
kalau diadakan sekalipun belum tentu parti baru akan berkuasa. Berjaga-jagalah.
Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 memberi kuasa yang amat luas kepada Perdana
Menteri.
Jangan Cakap Saja
Jadi, kalau ada sesiapa yang berasa berkewajipan dan
berupaya mengubah keadaan dan menyelamatkan negara, orang itu – tidak kiralah
Tengku Razaleigh Hamzah, (Tan Sri)
Muhyiddin Mohd Yassin atau sesiapa saja – perlulah bertindak segera atau
disyaki telah disajikan dedak.
Dalam hubungan yang sama, Raja-raja Melayu turut terbabit
kerana para Baginda sudah pun mengeluarkan kenyataan pada 6 Oktober lalu yang
sekali gus menaikkan semangat dan harapan rakyat jelata bahawa merekalah
pelindung dan penyelamat mutakhir rakyat jelata dan negara.
Dalam kenyataan itu, Raja-raja Melayu mahu kerajaan
menyelesaikan segara penyiasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan
sewajarnya dan tegas ke atas sesiapa saja yang didapati terlibat.
Rakyat jelata sudah tahu Raja mana berpendirian apa.
Jangan salahkan rakyat jelata. Bukan semua rakyat jelata jahil dan boleh disuap
dedak. Lagipun, bilangan Raja-raja Melayu bukanlah ramai sangat – sembilan
orang saja.
Semua pihak di atas wajib bertindak pantas dan tegas.
Kalau mereka terlalu kerap berteriak harimau, masanya akan sampai apabila
harimau betul-betul menyerang kerbau lembu, tidak ada siapa percaya.
Ingat lagi “gempaq” 16 September 2008 (Datuk Seri) Anwar
Ibrahim? Kerajaan BN tidak jatuh sebaliknya Anwar masuk penjara.
Jadi bertindaklah segera. Kalau tidak mampu janganlah
beri harapan kosong kepada rakyat jelata. Lebih baik rakyat jelata terima
hakikat dan cuba berdikari daripada berangan-angan Mat Jenin.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan