Seorang pramugari Malaysia Airlines datang dan menangis di hadapan Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung semasa bertugas.
Perkara itu diakui Asri dalam Facebook beliau, yang menyatakan rasa tersentuhnya.
“Malam ini jiwa saya agak tersentuh. Dalam penerbangan MAS malam ini, seorang pramugari datang mengadu dan menangis di hadapan saya mengenai nasibnya.
“Jiwanya menderita kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung. Dia bekerja untuk menyara anak-anaknya,” tulis Asri.
Menurut Dr Asri atau lebih dikenali dengan Dr Maza dalam laman Facebook, beliau simpati dengan nasib yang menimpa pramugari tersebut.
Namun, apa yang lebih menyedihkan Asri adalah sikap rakyat di negara ini berhubung tindakan MAS itu.
“Sesetengah orang Melayu jika diberitahu ada syarikat tertentu halang wanita Muslimah memakai tudung ataupun memaksa mereka menghidangkan arak, tentu akan mengamuk sakan.
“Segala dalil dan semangat akan dihamburkan.
“Malangnya kita lupa bahawa syarikat penerbangan negara yang merupakan imej dan identiti Malaysia itu sendiri tidak membenarkan pramugarinya memakai tudung dan terpaksa menghidangkan arak,” sinis Asri.
Tambah Asri, retorik-retorik politik berbaur agama yang sering didengar di media dan bicara “ahli-ahli siasat itu” tidak setakat mana jika dilihat apa yang berlaku kepada pekerja Islam MAS.
Justeru, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu menyeru rakyat di negara ini memohon kerajaan agar pramugari MAS dibenarkan berpakaian memenuhi sifat pakaian wanita Muslimah serta tidak menghidangkan arak.
“Terimalah itu sebagai hak mengamalkan agama mereka iaitu Islam. Bahkan MAS tidak wajar menghidangkan arak. Banyak penerbangan yang tidak menghidangkan arak, mengapa perlu kita menghidangkannya?
“Marilah kita menyokong permohonan ini kepada sebuah kerajaan yang sering melaungkan nama Islam dalam pelbagai slogannya. Mohon mencadangkan,” kata Asri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan