Selasa, 12 Januari 2016

DAP tetap bertanding di lapan kerusi DUN, isytihar PAS musuh utama

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Selepas PAS menyifatkan DAP sebagai musuh mereka, hari ini giliran parti dominasi Cina itu pula melakukan perkara yang sama. 
 
Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan pendirian parti itu yang menganggap PAS sebagai musuh utama, susulan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad semalam. 
 
"Dia (PAS) dah isytihar (sebagai musuh), kita sahut kerana kita pantang dicabar," katanya dipetik Berita Harian.
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Iskandar semalam yang menyifatkan DAP sebagai musuh, ekoran mahu meletakkan calon di kawasan yang ditandingi PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 
 
Mengulas lanjut, ujarnya, DAP akan meneruskan hubungan profesional dengan PAS dalam konteks pentadbiran kerajaan negeri. 
 
"Dalam pentadbiran kerajaan negeri, kita bersikap profesional. Untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang, kita tetap menempatkan calon DAP bagi kerusi ditandingi PAS," katanya.
 
Pertelingkahan berhubung soal kerusi itu bermula apabila Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, mengumumkan persiapan untuk meletakkan calon dan bertanding di lapan kerusi DUN di Selangor yang kini dipegang oleh wakil PAS. 
 
Lapan kerusi yang menjadi sasaran parti itu ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
 
 

Tiada ulasan: