Isnin, 11 Januari 2016

‘DAP, Amanah tidak ada hubungan dengan kita’

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim
 
 
SHAH ALAM - Ahli Pas dilarang menyertai dan melibatkan diri dengan program berkaitan Parti Amanah Negara (Amanah)  dan DAP kerana parti-parti itu tidak mempunyai hubungan dengan Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian ketika mengulas mengenai larangan yang dikenakan Pas terhadap ahlinya dalam isu penglibatan ahli-ahli Pas dalam program dan kegiatan parti politik lain.

Menurut Tuan Ibrahim, larangan tersebut diputuskan untuk mengelakkan timbulkan persepsi tidak baik terhadap imej parti.

“Mana-mana ahli parti yang dijemput oleh parti lain (selain Amanah dan DAP) mesti mendapat kebenaran parti untuk hadir.

“Tak boleh kita nak lepas begitu sahaja. Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri pun berbincang dengan ahli semasa mesyuarat bagi kebenaran untuk hadir ke program jemputan parti lain, ” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan larangan penyertaan atau penglibatan ahli parti itu dalam mana-mana bahagian, memberi bantuan, kerjasama atau menyertai sebarang program atau aktiviti Amanah dan DAP di semua peringkat.

Menurut Takiyuddin, ia diputuskan Pas dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Jumaat lalu.
Kata Tuan Ibrahim lagi, ia bukan sesuatu yang patut diperbesarkan memandangkan ia hanya prosedur pentadbiran parti.

“Konsepnya mesti melalui parti, kita tak ada halangan untuk ahli sekiranya program tersebut bertujuan untuk memperkukuh Islam dan kebajikan masyarakat.

“Tetapi DAP dan Amanah kita tidak benarkan sama sekali memandangkan kita tidak ada hubungan dengan parti itu dan mereka juga menimbulkan nilai yang tidak baik kepada parti,” tegasnya lagi.


Tiada ulasan: