Oleh Nazar Hashim
BUTTERWORTH : 40 Ketua Umno Cawangan yang menganggotai gerakan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) mengulangi desakan supaya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak ‘gentleman’ dengan melepaskan jawatan Perdana Menteri.
Siri jelajah GKCM di peringkat Pulau Pinang pada 10 Januari lalu itu turut dihadiri Ketua Cawangan dari Bahagian Teluk Kemang (Taman Datuk Abdul Samad), Datuk Md Zin Mustafa yang digantung lembaga disiplin parti atas kesalahan mendesak Najib meletakkan jawatan.
Md Zin berkata, Najib menyebabkan Umno kucar kacir dan menuntut pemilihan parti itu dijalankan segera.
“Ini merupakan tamparan untuk Ketua-ketua Cawangan dalam GKCM supaya berani menegakkan keadilan.
“Kita tetap menuntut supaya Najib berundur dan lepaskan jawatan memimpin Umno dan juga negara.
“Jangan tangguhkan pemilihan Umno sekiranya benar-benar ikhlas dan telus untuk memperjuangkan nasib orang Melayu,” ujarnya sambil menegaskan GKCM mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan Najib turun dari tampuk pemerintahan negara.
“Banyak harta negara terlepas ke tangan orang luar angkara kerakusan pemimpin kerajaan.
“Rakyat pula hidup dalam kesukaran dan tekanan di bawah kepimpinan Najib.
“Dengan penyertaan 7,000 ahli GKCM membuktikan kedudukan Najib semakin tercabar dan boleh dicabar,” kata Md Zin lagi.
Seluruh anggota GKCM yang hadir program ini turut mengenakan baju T tertera slogan ‘Berani Kerana Benar’ serta berikrar akan menyokong usaha menurunkan Najib dengan seberapa segera bagi menyelamatkan orang Melayu dan negara.
Menurut Md Zin lagi, GKCM tekad meneruskan jelajah selagi Najib tidak berundur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan