Sabtu, 21 November 2015

Zuhdi: Pastikan tiada 'penghijrahan' penyokong DAP ke kerusi milik PAS

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tidak menolak kemungkinan wujud muslihat tertentu di sebalik hasrat DAP untuk menawan lapan kerusi DUN di Selangor milik parti itu pada pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
 
" Kawasan-kawasan DAP sebut ini kawasan luar dari pinggir bandar dan kita percaya bahawa DAP menyedari bahawa banyak kawasan-kawasan Parlimen yang mereka menang di kawasan bandar di Kuala Lumpur berlaku pembaziran.
 
"Kita panggil undi membazir, sebenarnya hendak menang satu Parlimen ini cukup dengan satu undi tetapi mereka menang dengan majoriti 50 ribu undi macam di kawasan Seputeh.
 
"Jadi adakah mereka menyedari undi membazir ini, maka untuk memanfaatkan jumlah terlalu besar pembaziran ini, kemungkinan mereka menghantar ke kawasan-kawasan pinggiran?" katanya kepada AntaraPos.
 
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua yang baru-baru ini menyuarakan hasrat DAP untuk bertanding di lapan kerusi itu setelah dua parti itu memutuskan hubungan di antara mereka secara rasmi. 
 
"Setakat ini, kita tidak ada keputusan, kita hanya hendak mengkaji demografi pengundi-pengundi baru yang ada, adakah berlaku satu penambahan yang mendadak kepada komposisi satu kaum di kawasan Templer umpamanya dan di kawasan yang disebut tadi (Paya Jaras) dan sebagainya," kata Zuhdi.
 
"Kalau ada trend seolah-olah berlaku seperti ini, PAS akan bertindak menunjukkan bahawa ada cubaan untuk memanipulasi (daftar pengundi).
 
"Kita tidak menuduh tetapi kita melihat ini dengan satu kewaspadaan, kalau tiada itu mungkin bagus...tetapi kalau ada, kita akan buat bantahan," katanya lagi.
 
PAS tiada masalah hadapi saingan
 
Beliau menegaskan parti itu tidak ada masalah untuk menghadapi saingan DAP di Selangor namun hairan kenapa rakan komponen Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara (PAN) dipinggirkan. 
 
" Kenapa DAP tidak meletakkan PAN di situ?  (PAN) Dia mengakui tidak boleh bertanding di kawasan pantai timur, dia hendak bertanding di kawasan barat,   Jadi apabila DAP bertanding (untuk merampas kerusi PAS), adakah mereka (PAN) sudah seperti dimainkan oleh DAP," katanya.
 
"Bagi PAS kita tiada masalah, kita bertanding secara demokratik, tetapi kita masih mengkaji demografi baru pengundi-pengundi di kawasan terbabit sebab adakah usaha-usaha untuk memindahkan undi membazir tadi ke kawasan-kawasan di pinggir bandar," katanya.
 
Beliau dalam pada itu berkata, DAP  perlu mengkaji hasrat mereka itu semula jika tetap berdegil mahu mempertaruhkan calon daripada DAP di kawasan PAS.
 
"Saya rasa dia tidak mengkaji mentaliti pengundi-pengundi Melayu, kalau kita lihat kawasan-kawasan yang lebih daripada 70 peratus pengundi-pengundi Melayu, sebenarnya pemecahan undi itu cukup jelas.
 
"Kepada PAS dan kepada Umno, saya boleh sebut contohnya, mungkin Umno boleh dapat 40 peratus undi akar umbi, Umno tidak kurang daripada itu, PAS pun dikebanyakan kawasan-kawasan terutamanya di pantai timur dan kawasan barat, kawasan-kawasan yang majoriti Melayu ini, kajilah 10 tahun sebelumnya sebelum ini, sokongan kepada PAS, dia tidak turun daripada jumlah tertentu.
 
"Jadi akar umbi sokongan yang ada pada PAS ini, mereka sudah mengundi empat, lima kali. Mungkin mereka sudah mempunyai satu pendirian sebelum pilihan raya," katanya.
 
Malah beliau meminta supaya Pua mengkaji sokongan pengundi Melayu yang tidak berbelah bahagi kepada PAS dan Umno sejak sekian lama jika berhasrat mahu bertanding di kawasan PAS.
 
"Jadi saya boleh anggap, sokongan PAS dan Umno ini, sokongan mereka tidak lari.
 
"PAS mungkin 35, Umno mungkin 40, satu tempat yang lain macam di Kelantan dan Terengganu mungkin PAS ada yang lebih, Umno 35, jadi (pengundi)atas pagar ini, dia tidak ramai di kawasan majoriti Melayu ini paling tinggi 25 peratus," katanya.
 
"Jadi kalau mereka (DAP) hendak meletakkan calon di situ, mereka tidak mungkin medapat sokongan akar umbi Umno dan tidak mungkin dapat sokongan akar umbi daripada PAS," katanya.
 
"Mereka mungkin dapat sokongan undi atas pagar tetapi tidak semua. Jadi, saya tidak nampak macam mana bacaan politiknya, saya tidak nampak macam mana dia punya bacaan politik sebab pengundi-pengundi Melayu ini mereka mengundi mengikut parti, mereka sudah ada pendirian.
 
Sukar tarik pengundi tradisi
 
Justeru, tegas beliau, andaian DAP bahawa ia mempunyai peluang untuk menarik penyokong tradisi PAS dan Umno amat meleset.
 
"Jadi kalau DAP masuk di kawasan-kawasan itu, apakah dia tidak nampak bahawa undi akar umbi PAS ini dia tidak lari jauh. Umno pun tidak lari jauh, jadi mungkin yang membezakan itu, siapa yang besar?
 
"Dan juga atas pagar ini apabila dua penjuru memihak kepada mana, tetapi kalau bertanding tiga penjuru, saya yakin, mereka tidak akan dapat tarik undi akar umbi ini.
 
"Cuma mungkin dia dapat tarik undi atas pagar, itu pun tidak semua," katanya.
 
Zuhdi berkata DAP patut memberi perhatian kepada kemungkinan calon PAS memecah undi di kerusi-kerusi milik DAP pada PRU 14.
 
"Kita sendiri (PAS) pun ada perancangan juga, ada beberapa perkara kerusi (Parlimen DAP) dia perlu tengok juga. Kalau dia masuk, kemungkinan mereka kalah.
 
"Contohnya Parlimen Puchong, walaupun mungkin orang Melayu di situ tidak majoriti, tetapi kalau pengundi-pengundi bukan Melayu pecah (dengan)  PAS dapat sokongan pengundi bukan Melayu adalah tidak mustahil kita akan menang dan mendapat sokongan penuh," katanya lagi.
 
Bahkan kata Zuhdi, jika DAP terus berdegil mahu menawan kerusi PAS, parti itu akan bertindak balas dengan bertanding di kerusi DAP.  
 
Malah beliau membayangkan saingan PAS terhadap DAP tidak saja bertumpu di Selangor.
 
"Kemudian beberapa kerusi yang lain umpamanya Alor Gajah (Melaka), Beruas (Perak), tetapi saya tidak mahu beritahu semua kerusi-kerusi itu," katanya.
 
 

Tiada ulasan: