SHAH ALAM: PAS mempunyai sebab mengapa enggan menyokong undi tidak
percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Pengarah
Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Ujarnya, jikapun undi tidak percaya itu berjaya menggulingkan Najib ia tidak bermaksud kerajaan baru akan dibentuk.
Besar kemungkinan perdana menteri baru akan dilantik, tetapi Umno Barisan Nasional (BN) akan terus memerintah negara.
"Kalau buat undi tidak percaya apa yang akan berlaku? Apakah dengan
bubar Parlimen? Ada perdana menteri baru? Atau pun akan ada pentadbiran
sementara dan sebagainya.
"Kalau tiada penjelasan tentang itu, kita akan mencipta masalah baru
yang akan lebih menyebabkan ketidakstabilan, bukan bermakna kita sokong
Datuk Seri Najib, tidak.
"Tetapi dalam keadaan sekarang, kita perlu berfikir, kalau hendak
menyelesaikan masalah, apakah tindakan itu betul-betul akan
menyelesaikan masalah? Atau pun penyelesaian itu akan mencetus masalah
baru?," katanya ketika ditemubual secara ekslusif Antarapos, baru-baru
ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mengutarakan
pandangan yang sama bahawa undi tidak percaya tidak menjanjikan
pembangkang akan membentuk kerajaan di Putrajaya.
Hadi juga berkata PAS lebih berminat untuk menukar kerajaan dengan cara
yang lebih berkesan dan tidak mendatangkan huru hara iaitu melalui
pilihan raya.
Zuhdi dalam pada itu turut menjelaskan rasional mengapa PAS tidak
menyokong usul untuk menolak bajet 2016 sepertimana dibuat PKR, DAP dan
Amanah, minggu lalu.
"Kalau kita tolak bajet, apa yang akan berlaku? Bajet tidak diluluskan,
gaji penjawat awam pada 1 Januari siapa yang hendak bayar?
Peruntukan-peruntukan untuk kontraktor siapa yang hendak bayar?
"Dia akan menyebabkan negara berlaku lebih banyak masalah, jadi bukan
itu cara hendak menyatukan kerajaan, jatuhkan kerajaan dengan cara ini
akan menyebabkan masalah lebih besar," tegasnya.
Justeru, wakil rakyat PAS perlu bertindak lebih rasional dan tidak
mengutamakan kepentingan politik parti semata-mata melebihi kepentingan
negara.
"Itu yang PAS mahu lihat perkara ini menjadi ahli-ahli politik yang
bersifat negarawan memandang kepentingan negara lebih penting berbanding
kepentingan parti-parti politik," katanya.
Bajet 2016 yang dibentangkan Najib diluluskan dengan 128 ahli Parlimen
menyokong sementara 74 menentang, sekaligus menggagalkan usaha Pakatan
Harapan (PH) untuk melakukan undi tidak percaya ke atas perdana menteri.
Ketika udian dibuat ahli Parlimen PAS mengambil sikap berkecuali, kecuali tiga ahlinya.
Tiga ahli Parlimen itu Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena),
Ahmad Baihaki Atiqullah (Ahli Parlimen Kubang Kerian) dan Datuk Nik
Mazian Nik Mohamad (Ahli Parlimen Pasir Puteh).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan