Oleh Zasyaf Ishak
Penulis ucap tahniah dahulu, walaupun dengan pelbagai cabaran, kegagalan cubaan masa kecederaan untuk memujuk PAS bersekali di dalam pakatan baru, 'Pakatan Rakyat' secara rasminya bertukar nama menjadi 'Pakatan Harapan'.
Rasanya, walaupun baru berumur tidak sampai sehari, ada beberapa keputusan Pakatan Harapan sebenarnya membayangkan tidak ada sesuatu yang baru dengan muafakat politik ini. Masih berlegar dengan orang dan isu yang lama.
Menolak 'rakyat' di dalam muafakat politik baru dan menggantikannya dengan 'harapan' adalah satu kesilapan yang paling awal. Harapan siapa yang mahu Pakatan perjuangkan? Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bebas penjara dan kembali maksum dalam legar politik Malaysia? Atau memenuhi 'harapan' DAP untuk menjahanam PAS secara politik?
Menghilangkan perkataan 'rakyat' di dalam pakatan itu adalah kesilapan yang tidak boleh dimaafkan.
Nampak benar, yang mahu diketengahkan hanya 'harapan' mereka untuk kekal berkuasa di dalam senario politik Malaysia. Tidak lebih daripada itu.
Kesilapan kedua, yang juga besar dan tidak mungkin menarik minat rakyat secara umumnya, adalah mengetengahkan kembali Anwar sebagai paksi dan modal politik.
Nampaknya, di sebalik apa yang berlaku, Anwar juga yang dikitar semula sebagai perdana menteri 'simpanan'.
Apakah Pakatan tidak sedar mereka sudah perlu move-on dan mengemukakan calon yang lebih wibawa dan tidak punya bagasi? Apakah dengan segala gempita reformasi selama ini, Pakatan masih gagal mengemukakan wajah baru sebagai pembawa obor politik?
Daripada suatu segi, meletakkan kembali Anwar sebagai wajah perdana politik Pakatan membayangkan harapan rakyat untuk melihat perubahan sudah meleset jauh dan semakin tidak relevan.
Mengapa tidak dihayun sahaja Mohamed Azmin Ali? Mengapa tidak diangkat sahaja Nurul Izzah Anwar? Mengapa tidak dijual sahaja nama Rafizi Ramli? Atau mereka-mereka ini masih lagi menjadi kumpulan yang takut untuk keluar daripada bayang-bayang Anwar?
Apakah Azmin, Nurul Izzah dan Rafizi tidak ada upaya membawa semangat 'tahriri-tanwiri' (pembebasan dan pencerahan) di dalam Pakatan? Sampai bila Anwar mahu menjadi gam kepada hubungan politik longgar ini?
Semakin lambat Pakatan mahu merdeka daripada misi 'membodek Anwar', maka semakin lambat jugalah Pakatan layak diangkat sebagai alternatif.
Politik status-quo (Umno dan BN) memang semakin gagal mendapat tempat di hati rakyat. Tetapi rakyat juga tidak ingin ianya diganti politik sendu dan simpatisan terhadap Anwar.
Rakyat mahu visi dan rentak pengurusan baru. Bukan bakal PM yang kononnya mahu digambarkan sebagai tahanan politik.
Cukup menyedihkan jika kalangan pimpinan Pakatan yang bersidang hari ini masih lagi terbeban dengan memori politik lama. Reformasi politik nyata satu istilah dan slogan yang gagal dimanfaatkan.
Adalah lebih molek, jika kepimpinan tadi mengambil keputusan meletakkan Azmin, Izzah atau Rafizi sebagai pembawa obor yang baru. Beri komitmen penuh, yang Pakatan sudah sedia keluar daripada papan politik lama yang dikuda-kudakan Anwar dan Lim Kit Siang.
Semangat baru, atau 'harapan' yang mahu dijual kepada rakyat dibawa generasi baru yang tidak ada kena mengena dengan generasi lama. Jika itu dilakukan, rasanya lebih mudah untuk mendapat dokongan rakyat.
Pakatan Harapan hanyalah kumpulan yang masih lagi bermain dengan numerik dan sifir politik lama.
Percayalah, akan ada kelompok yang bosan dan menganggap ini satu langkah regresif dan counter-productive.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kononnya sebagai Ketua) kepada Pakatan Harapan sepatutnya lebih komited membawa arus reformasi dan perubahan. Malaysia sudah tidak boleh lagi dibiarkan sibuk dengan politik liwat dan sodomi lebih daripada tiga dekad.
Angin perubahan mesti dimulakan dengan wajah kepimpinan baru. Maaf cakap, Kak Wan, Kit Siang, Guan Eng dan Mat Sabu tidak ada aura membawa semangat perubahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan