![]() |
Oleh Mohamad Sofee Razak
Arena politik negara sentiasa berwarna-warni dan semua parti politik sedang melalui landasan lebuh raya siasah yang panjang bagi memenuhi kehendak rakyat yang menanti di destinasinya.
Hanya yang benar-benar mampu memacu aspirasi rakyat sahaja akan teruskan perjalanan atau singgah sebentar di perhentian. Tiada jalan untuk pusingan U namun masih boleh keluar dari landasan dan melalui jalan lain.
Semalam melalui ijtihad politik yang sangat dramatik maka lahirlah buat gagasan dan permuafakatan baru parti politik pembangkang yang sebulat suara membentuk Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Pakatan Harapan bakal menjadi wadah baru parti pembangkang melalui landasan lebuh raya siasah menuju PRU-14 bagi meneruskan kecemerlangan legasi Pakatan Rakyat yang begitu hampir menjejaki Putrajaya sebelum ini dengan pengalaman strategik dalam PRU-12 dan PRU-13.
Persepakatan yang terbentuk melalui persefahaman politik komponen PKR, DAP dan Amanah menjadi penanda aras dan harapan baru untuk Rakyat setelah melalui episod duka pembubaran PR yang sebelum ini turut dianggotai PAS.
PAS nampaknya tidak menunjukkan minat yang tinggi kepada Pakatan Harapan walaupun memutuskan untuk mengekalkan hubungan politik dengan PKR ketika ini. Apa pun landasan lebuh raya siasah luas dan panjang, banyak pilihan terbentang untuk dilalui.
Realitinya rakyat mahukan hasil yang dinikmati dan bukannya retorik atau krisis politik yang berpanjangan. Maka ijtihad politik yang melahirkan Pakatan Harapan tepat pada masanya dan perlu bergerak ke hadapan tanpa perlu menoleh ke belakang kerana masa semakin suntuk untuk mendepani PRU-14.
Justeru itu, dalam memenuhi tuntutan rakyat yang semakin kompleks, kewujudan Pakatan Harapan perlu memberi keutamaan pembentukan model kerajaan terbaik pada masa hadapan di samping pelan akomodatif pemulihan ekonomi, pembasmian rasuah secara holistik dan paling penting memastikan nasib rakyat tidak dipolitikkan pihak penguasa.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan