Jumaat, 14 Ogos 2015

Pendapatan petani terjejas kerana nilai ringgit

SINAR HARIAN


Pendapatan petani terjejas kerana nilai ringgit
Tajuddin (kanan) merangkap Anggota Parlimen Pasir Salak menyampaikan bantuan zakat kepada penerima Idar Asri, 97, pada Majlis Penyerahan Zakat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Pusat Khidmat Cenderung Balai, Kampung Gajah, Khamis. - Foto Bernama
PASIR SALAK - Pendapatan petani di negara ini akan sedikit terjejas berikutan penyusutan nilai ringgit berbanding mata wang lain, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bagaimanapun, beliau berkata, petani di negara ini tidak perlu berasa bimbang atau berputus asa dalam menghadapi cabaran itu kerana pihak kementerian akan sentiasa memantau kenaikan harga terutama barangan keperluan yang perlu diimport seperti beras, daging dan makanan ternakan.

"Barangan import pasti akan naik harganya. Ini tidak dapat dielak kerana kebanyakan barangan import adalah dalam bentuk AS dollar.

"Oleh itu, kami akan mencari jalan bagaimana menghadapi situasi sebegini kerana tidak tahu sama ada ia hanya bersifat sementara atau tempoh jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Felcra Berhad Seberang Perak di sini, hari ini.

Tajuddin berkata, penyusutan nilai ringgit berlaku disebabkan faktor ekonomi dunia yang mana banyak negara mengalami nasib yang sama seperti Malaysia.

"Kita tidak mempunyai kawalan terhadap faktor ekonomi dunia dan kewangan di peringkat antarabangsa. Suka atau tidak, kita perlu berhadapan dengan kejatuhan mata wang ini," katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi kenaikan kos barangan import, pengeluaran produk tempatan perlu dipertingkat.

"Sebagai contoh hasil pengeluaran padi perlu dipertingkat memandangkan negara masih bergantung kepada kira-kira 30 peratus mengimport beras," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata negara tidak akan menghadapi krisis bekalan beras atau daging apabila berlaku kenaikan kedua-dua barangan berkenaan.

"Bagaimanapun, kementerian amat prihatin dan mengambil tahu kesan terhadap pengguna di negara ini," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: