PUTRAJAYA: Keputusan sama ada serpihan bahagian sayap (flaperon) yang
ditemui di Pulau Reunion berhampiran Madagascar kelmarin milik pesawat
Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 dijangka diketahui dalam tempoh satu
atau dua hari lagi.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata ketika
ini serpihan itu sedang dalam proses penghantaran ke Toulouse, Perancis
untuk tujuan siasatan antara semua pihak terbabit.
"Isunya sekarang flaperon itu masih dalam perjalanan ke Toulouse dan tiada pihak boleh membuat pengesahan lagi.
"Apabila sudah tiba di sana, barulah siasatan boleh dilakukan dan
Boeing juga akan menyertai siasatan untuk mengesahkan sama ada serpihan
itu milik MH370 atau sebaliknya,"katanya ketika ditemui media selepas
menghadiri sambutan Rumah Terbuka Kementerian Pengangkutan di sini, hari
ini.
Aziz berkata, kementerian turut menghantar pasukan penyiasat ke
Toulouse yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan (DCA), Datuk
Azharuddin Abdul Rahman.
Semalam seorang pakar penerbangan Perancis mendakwa beliau mungkin
sudah menjumpai serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MH370) yang
hilang di perairan Malaysia pada Mac 2014.
Bekas juruterbang tentera, Xavier Tytelman yang kini pakar dalam
bidang keselamatan penerbangan menerima panggilan telefon daripada
seorang penduduk di Pulau Reunion, di Lautan Hindi.
Lelaki berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan
pesawat itu dan beliau berkata, ia mungkin milik pesawat hilang
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan