KUALA LUMPUR, Serangan terkini terhadap kebebasan bersuara dan media dilihat akan merosakkan lagi imej Malaysia di mata dunia.


Perkara itu dinyatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang merujuk kepada penggantungan penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily.

Katanya, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menggantung penerbitan itu kerana kedua-dua akhbar tersebut menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai media.

“Serangan terkini ini adalah rentetan dari banyak lagi serangan ke atas media di Malaysia, stesen radio dan laman berita online telah diberi amaran, dan wartawan juga telah ditangkap dan disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Jangan kita lupa betapa ramai lagi ahli-ahli politik, aktivis, malah juga kartunis yang sedang dihadap ke mahkamah di bawah Akta Hasutan hanya kerana mereka berani bersuara,” katanya dalam kenyataan.

Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata penggantungan itu membuktikan bahawa pentabiran negara yang ala-ala kuku besi kelihatan seperti bukan sahaja takut kepada kebenaran.

Malah katanya ia boleh disifatkan seolah-olah pemerintah negara begitu takut kepada rakyat yang berani mempersoalkan kewibawaan kerajaan.

“Apakah hari ini kita di berada di tepi jurang yang terbina akibat dekad-dekad keangkuhan, rasuah dan keruntuhan sistemik asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang?” soalnya.

Katanya meskipun kerajaan mampu melakukan apa sahaja namun beliau terus menyeru rakyat Malaysia supaya bangkit untuk membina negara yang lebih baik.

“Inilah satu-satunya Malaysia yang kita ada. Ketepikan perbezaan dan marilah kita sama-sama bangkit untuk menyelamatkannya.

“Ada pihak-pihak yang mahu memecahbelahkan kita, yang mahu kita berhenti berusaha. Namun kita tidak akan menyerah kalah. Kita akan bangkit untuk membina sebuah Malaysia yang lebih baik bersama,” ujarnya.

Terdahulu, KDN menjelaskan tiga sebab penggantungan permit penerbitan akhbar harian The Edge dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan bermula 27 Julai ini.

Sebab pertama adalah tajuk dan cara pelaporan serta pemberitaan kedua-dua penerbitannya menimbulkan persoalan dan persepsi negatif kepada masyarakat terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang seterusnya berkait dengan kerajaan dan kepimpinan negara.

Alasan kedua adalah merujuk kepada laporan yang diterbitkan turut bersumberkan maklumat yang diragukan dan belum ditentukan kesahihannya, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan boleh/mungkin memberi kemudaratan kepada ketenteraman awam dan kepentingan negara.

Sebab ketiga adalah mengenai isu berkaitan 1MDB ini sedang disiasat oleh pasukan penyiasat yang telah ditubuhkan. Oleh itu, adalah tidak wajar pemberitaan yang boleh menimbulkan persepsi negatif yang dilakukan secara berterusan dan ia adalah tidak adil kepada syarikat 1MDB seterusnya kepada kerajaan dan kepada kepimpinan negara.