MALAYSIAKINI
Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah mengecam
tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan
akhbar The Edge Media Group.
"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menggantung selama tiga bulan The Edge dan Financial Daily," kata Saifuddin melalui status terbaru di Facebook beliau petang ini.
Status tersebut dimuat naik susulan pengumuman The Edge Media Group mengenai tindakan kerajaan hari ini.
Dalam kenyataan kumpulan media itu menyebut, penggantungan berkuat kuasa selama tiga bulan bermula 27 Julai ini.
KDN dilaporkan bertindak demikian berdasarkan laporan media terbabit
dalam isu 1MDB yang didakwa “memudaratkan atau mungkin memudaratkan
ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan pendapat umum
atau mungkin memudaratkan orang awam atau kepentingan awam”.
KDN juga memberi amaran menarik balik permit The Edge Media Group jika
syarikat itu terus menerbitkan akhbar berkenaan dalam tempoh
penggantungan.
Demi kepentingan umum
Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad
menganggap tindakan KDN itu melanggar prinsip kebebasan media.
"Kerajaan harus menjelaskan mengapa laporan The Edge berkenaan 1MDB
dianggap memudaratkan dan boleh membawa gangguan kepada keselamatan dan
ketenteraman awam atau memberi ancaman kepada keselamatan negara.
"Seperti yang telah disebut berulang kali, kegagalan kerajaan menjawab
persoalan-persoalan 1MDB sebenarnya yang mengakibatkan rasa tidak puas
hati rakyat dengan keadaan sekarang ini, bukannya laporan media,"
katanya.
Pusat
Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana
laporan The Edge mengenai 1MDB mengancam keselamatan negara.
Dalam kenyataan bersama Pengarah CIJ, Sonia Randhawa dan Jac Kee,
pertubuhan itu berpendapat The Edge bertindak atas kepentingan awam dan
negara dengan mendedahkan isu berkenaan.
Kata mereka, ia boleh dianggap membawa kepada penubuhan pasukan bertindak khas bagi menyiasat dakwaan itu.
"CIJ meminta KDN menarik balik penggantungan penerbitan The Edge
serta-merta dan menghormati hak dan kebebasan bersuara," katanya.
Gerakan Media Marah (Geramm) pula melihat keputusan hari ini sebagai
langkah pihak berkuasa mengawal media melalui Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984.
"Geramm mengulangi gesaan supaya kerajaan memansuhkan akta ini
memandangkan ia menjadi alat menghalalkan tindakan ke atas media dalam
sebarang pertikaian," kata kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pada masa sama, Geramm turut mengambil kira wujud persoalan moral dan
etika dalam isu berkenaan ekoran pengakuan The Edge mengenai cara mereka
mendapatkan maklumat.
"Namun Geramm berpendapat media perlu mempunyai kebebasan menyiasat
sesuatu perkara demi kepentingan umum," kata pertubuhan berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan