SHAH ALAM: Tindakan PKR 'menghantar' wakil yakni pengarah
pilihanrayanya Datuk Saifuddin Nasution dalam sesi jelajah Gerakan
Harapan Baru (GHB) di Kelantan menggambarkan bahawa parti itu 'memainkan
peranan' penting.
Demikian tegas penganalisis politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain
ketika ditanya mengenai teka-teki sokongan PKR kepada GHB.
Malah beliau tidak menolak GHB sukar untuk mendapatkan sokongan pengundi seperti mana yang diperolehi PAS.
"Memang itulah hasrat mereka (PKR) untuk menggantikan PAS, tetapi kita
harus ingat bahawa untuk menggantikan PAS dalam PR mudah sahaja,
bila-bila masa tapi yang penting adalah pilihanraya umum akan datang.
Apakah GHB ini boleh menggantikan PAS sebagaimana dalam pilihanraya yang
PAS perolehi?, katanya kepada Antarapos.
Jelas Ahmad Atory, ada sesuatu agenda tersembungi PKR dalam tindakan
berkenaan yang dilihat seakan-akan mahu mengenepikan PAS dan menerima
GHB sebagai kerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR).
Lebih daripada itu, Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli dengan jelas
menyokong penubuhan gerakan berkenaan dan menyatakan beliau akan
menyertai siri jelajah GHB di masa akan datang.
Dalam telahan beliau, PAS sudah bersedia untuk keluar daripada PR
dengan situasi kerjasama yang semakin meruncing antara PAS-PKR dan DAP,
sekaligus kembali bersama UMNO-BN untuk kepentingan politik semasa.
"PAS sekarang ini bersedia menanggung risiko untuk keluar daripada PR,
itu yang saya nampak. Dan PAS boleh bertanding berseorang tanpa DAP-PKR.
Harus diingat PKR tanpa PAS, tidak boleh hidup sebab itu kalau PKR
tolak PAS, dan terima GHB, PAS mungkin akan sertai UMNO-BN."
Malah berdasarkan kepada profil parti politik yang ditubuhkan
sebelumnya berlandaskan kepada aspek kekecewaan, GHB katanya akan
mengalami situasi sama seperti Parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia
(KITA) yang dibubarkan bekas menteri di jabatan perdana menteri Datuk
Zaid Ibrahim pada 2012 lalu.
"Tindakan balas Mohamad Sabu adalah dengan menubuhkan parti baru dengan
harapan GHB dapat menggantikan PAS, pada pandangan saya berdasarkan
kepada pengalaman, saya rasa parti ini tidak akan bertahan lama sebab
berasaskan kepada kemahuan sesetengah pihak yang sudah tidak mendapat
tempat dalam PAS."
PKR menerusi Timbalan Presidennya, Azmin Ali berkata satu mesyuarat
peringkat parti akan diadakan dalam masa terdekat mengenai kenyataan
rasmi samada menjalinkan kerjasama dengan GHB atau tidak.
Jelas Azmin, tindakan itu perlu ada permuafakatan antara parti pembangkang terutama PAS.
Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad
mengeluarkan kenyataan, pakatan pembangkang bakal berdepan masalah dalam
Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika berlaku pertembungan antara
parti pembangkang di kerusi-kerusi yang bakal dipertandingkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan