SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terus digesa untuk bercuti
sementara dari jawatannya sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan
Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sehingga isu yang dikaitkan dengannya
selesai.
Pengerusi NGO anti jenayah (MyWatch), Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan
berkata, ia bagi memastikan supaya tidak berlaku sebarang campur tangan
dalam siasatan.
"Pendedahan oleh Wall Street Journal (WSJ) berkenaan berlakunya
pengaliran wang ke dalam akaun peribadi milik Najib merupakan sesuatu
yang amat serius.
"Pertamanya, angka RM2.6 bilion itu merupakan satu jumlah yang amat
besar. Keduanya, wang itu disalurkan ke akaun milik seorang Perdana
Menteri," katanya menerusi satu kenyataan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad pada Ahad lalu
menyarankan Najib bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung isu
ini.
Malah saranan itu juga turut dizahirkan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lalu.
Sementara itu, Sanjeevan turut menuntut penyiasatan ke atas isu tersebut dijalankan secara telus oleh pihak berkuasa.
"Peguam Negara, PDRM, SPRM, dan lain-lain pihak yang terlibat perlu
menyiasat perkara ini dengan seadil-adilnyanya. Siasatan yang dijalankan
mestilah bebas dan adil.
"... Najib jangan sekadar menafikan tetapi seharusnya mengambil
tindakan undang-undang ke atas Wall Street Journal sekiranya pendedahan
itu bersifat fitnah," katanya lagi.
Terbaharu, portal antarabangsa itu dikatakan telah memuat naik dokumen
berupa perincian bagaimana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan
ke dalam akaun peribadi Najib.
Sumber dokumen-dokumen tersebut menurut WSJ diperoleh dari hasil siasatan kerajaan Malaysia sendiri.
Dalam perkembangan terbaharu, Najib telah memulakan tindakan undang-undang terhadap WSJ berkaitan laporannya itu.
Pasukan peguam Najib menghantar emel kepada pemilik WSJ, Dow Jones,
meminta penerbitan itu mengesahkan sama ada ia mempertahankan laporannya
dan memberi tempoh 14 hari untuk memberi jawapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan