shahbudindotcom
Tentunya ramai yang tertunggu-tunggu tarikh 7 Julai depan
di mana Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Shafie Apdal sudah
berjanji untuk memberi ulasan atau penjelasan mengenai pembelian empat
hartanah oleh Mara di Australia yang menimbulkan kontroversi di kalangan
rakyat.
Sebagaimana
yang dilaporkan, Shafie akan membuat penjelasan itu dalam majlis
berbuka puasa anjuran German Malaysian Institute pada tarikh tersebut.
Pada
mulanya, melalui pendedahan oleh akhbar The Age, hanya apartment di
Dudley International House yang didapati dibeli dengan harga lebih
tinggi sebanyak RM13.7 juta yang kemudian didakwa dikembalikan dalam
bentuk rasuah kepada beberapa pihak dalam Mara Inc yang menguruskan
pembelian itu.
Tetapi
melalui pendedahan selanjutnya oleh NOW atau National Oversight and
Whistleblowers yang diketuai oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli,
rupa-rupanya tiga lagi hartanah tersebut turut juga dibeli dengan harga
yang lebih tinggi daripada pasaran.
Melalui
penyiasatan yang dilakukannya, NOW mendapati perbezaan harga belian
berbanding harga pasaran bagi keempat-empat hartanah yang dibeli oleh
Mara itu ialah kira-kira RM129 juta yang dipercayai diselewengkan dalam
bentuk rasuah dan kepentingan peribadi.
Lantaran itu, NOW kini mempersoalkan ke mana dan masuk ke poket siapa wang berjumlah RM129 juta tersebut?
Lalu, tentu saja menarik untuk menunggu apakah ulasan dan penjelasan oleh Shafie Apdal pada 7 Julai nanti?
Jika
dalam ulasan awalnya sebelum ini mengenai pembelian apartment di
Dudley, beliau mengatakan semuanya mengikut prosedur yang ditetapkan dan
hanya terdapat satu perjanjian saja dalam pembelian itu atau maksud
tersiratnya ingin memberitahu tiada sebarang unsur rasuah berkaitan
dengannya, apakah penjelasannya pada 7 Julai nanti menjurus ke arah mempertahankan Mara Inc juga?
Dalam
isu 1MDB, Shafie Apdal adalah antara menteri yang jelas berbeza
pendapat dengan Najib Razak dalam kaedah penyelesaian syarikat milik
Kementerian Kewangan yang sarat dengan hutang serta mempunyai pelaburan
meragukan itu.
Selain
tidak menghadiri beberapa perjumpaan yang diadakan Najib bagi mengumpul
sokongan sebaik kemelut 1MDB meletus, termasuk bersama Ketua-Ketua UMNO
Bahagian di PWTC dan ketika program bersama rakyat di Tawau, Shafie
juga agak pantas menolak kata dua Perdana Menteri yang mahu
menteri-menterinya meletakkan jawatan jika enggan bersamanya dalam
menangani isu tersebut.
Naib
Presiden UMNO itu dengan nada sinikal bertanya kembali, takkan bertanya
soalan mengenai 1MDB suatu kesalahan dan perlu letak jawatan?
Ketika
itu, ramai yang memuji pendirian dan sikapnya berkenaan ketelusan dan
kebenaran, tambahan pula ramai menteri yang lain lebih suka memilih
berdiam diri atau menyokong Najib walaupun tiada hujah mampu ditampil
untuk mempertahankan 1MDB.
Namun
skandal hartanah Mara yang meletus ini bagaikan ujian kepada Shafie
tentang sejauh mana prinsip sebenarnya berkaitan kebenaran dan
ketelusan serta keinginannya menegakkan perkara itu dalam kerajaan.
Kalau
dilihat reaksi awalnya yang mengatakan pembelian apartment di Dudley
itu "semuanya mengikut prosedur", ternampak seolah-olah beliau cuba
melindungi serta menafikan wujudnya unsur rasuah, walaupun Pengerusi
Mara, Annuar Musa telah menyerahkan beberapa dokumen kepada SPRM dan
pihak berkuasa di Australia juga masih menjalankan siasatan.
Annuar
juga kurang puas hati dengan kenyataan awal pihak polis yang mengatakan
tiada unsur pecah amanah dalam pembelian hartanah itu dan berhasrat
bertemu polis bagi memberi kerjasama dan menyerahkan dokumen berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan