SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata beliau tidak
terkilan sekiranya Pengerusi Majlis Amanah Raya (Mara), Tan Sri Annuar
Musa enggan menjawab persoalannya mengenai skandal pembelian hartanah di
Australia dan United Kingdom.
Sebaliknya beliau berkata, rakyat perlu mengetahui sejauh mana
pendedahan-pendedahan yang dilaporkan akhbar Australia dan NGO National
Oversight and Whistleblowers (NOW) yang diwakilinya itu berasas atau
sebaliknya.
“Kalau dia kata ini tidak menjawab kepada saya, itu tidak penting
kerana saya yakin ramai rakyat tahu, setakat ini hanya setelah
pendedahan-pendedahan penyelewengan dibuat, barulah kerajaan ambil
tindakan.
“Kalau dia kata tidak menjawab kepada saya, rakyat tahu dia menjawab
kerana pendedahan yang kami buat,” katanya kepada Sinar Online, hari
ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Annuar semalam yang menggesa
Rafizi menemuinya terus di Parlimen jika ingin mengetahui secara jelas
mengenai isu melibatkan pembelian hartanah oleh agensi kerajaan itu.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi, CEO Mara direhat sementara ]
Dalam pada itu, Rafizi turut mencurigai pelawaan Annuar itu kerana
sikap yang ditunjukkan Ahli Parlimen Ketereh itu setiap kali dalam
sidang Dewan Rakyat tidak membantu.
“Kalau tengok prestasinya di Parlimen, dia tidak berminat untuk berbahas dengan baik kecuali memanggil nama yang buruk-buruk.
“Dia ahli Parlimen terkenal dengan mulut yang hodoh sebenarnya, jadi
bagi saya kalau dia nak bercakap soal kena bercakap di Parlimen, ataupun
semua di Parlimen, dia kena buktikan iaitu dia seorang ahli Parlimen
yang beradab dahulu. Tapi saya tidak nampak begitu,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, sepatutnya Annuar perlu bersikap terbuka dan
berlapang dada untuk memberi maklumat dan menjawab berhubung skandal
urus niaga hartanah itu.
“Apabila dia menyebut begitu, dia nampak seperti cuba mengelak
sedangkan rakyat keseluruhannya tahu kalau tidak kerana pendedahan yang
kami buat setakat ini, bersama juga laporan di Australia, sudah tentu
Mara tidak akan ambil tindakan.
“Mara sudah tidak ada jawapan untuk menangkis atau menafikan maklumat
yang kami tunjukkan itu, maka dia terpaksa ambil tindakan gantung dua
pegawai tertingginya,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan