MALAYSIAKINI
Kebebasan media sosial di negara ini perlu dikaji semula untuk
memastikan ia tidak menjejaskan keharmonian antara kaum, kata Menteri
Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Beliau merujuk kepada insiden di Plaza Low Yat pada Ahad lepas apabila
rusuhan berlaku dan terdapat pengguna internet atau netizen menyebarkan
maklumat palsu dan mengapi-apikan pergaduhan.
"Saya fikir kita perlu lihat kepada kebebasan media sosial sekali lagi
kerana pelbagai perkara disebarkan... mungkin 20 peratus fakta dan 80
peratus pembohongan," katanya kepada pemberita semasa melawat Plaza Low
Yat hari ini.
"Saya fikir kita perlu ikut apa yang perdana menteri kata dan memastikan
maklumat (yang boleh mencetuskan masalah) tidak disebarkan menerusi
media sosial.
"Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada kaji perkara ini."
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa orang ramai
untuk tidak menyalahgunakan maklumat yang boleh memburukkan lagi
keadaan susulan insiden itu.
Beliau tidak mahu situasi itu dijadikan isu perkauman.
Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno, mengingatkan netizen untuk tidak memainkan sentimen perkauman.
"Perpaduan dalam kepelbagaian kaum yang membuatkan Malaysia menjadi
seperti apa yang ia wujud sekarang. Kita telah memupuk dan mengecapi
keamanan dan keharmonian selama 58 tahun. Jadi, jangan lakukan sesuatu
yang boleh mencetuskan sebarang masalah perkauman," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan