BATU PAHAT - Pimpinan parti pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR
dan Pas mengharapkan adanya tindakan sewajarnya kepada individu terlibat
dalam memulakan kekecohan di program DAP di Pasir Gudang, kelmarin.
Dalam insiden berkenaan difahamkan 50 individu terlibat, di mana mereka
turut cuba menyerang dua pemimpin pembangkang iaitu Ahli Parlimen
Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong dan
mereka yang menghadiri program santai anjuran DAP itu.
Setiausaha PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, tindakan itu
melanggar undang-undang negara dan mengganggu kebebasan bersuara, dan
seharusnya pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut berkaitan kejadian
yang berlaku.
Katanya, siasatan segera perlu dilakukan supaya orang ramai tidak ragu terhadap pasukan keselamatan negara.
“Bagaimanapun kami pihak pimpinan pembangkang mengucapkan terima kasih
kepada pasukan polis yang bertugas ketika itu, kerana dapat mengawal
keadaan daripada menjadi lebih teruk.
“Cuma yang kami kesal kehadiran anggota bertugas tidak ramai, ia bukan
sahaja mampu mendatangkan bahaya kepada pemimpin (wakil rakyat) yang ada
tetapi kepada anggota polis yang bertugas juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, di Pejabat DAP Batu Pahat, semalam.
Sementara itu, Adun Penggaram, Gan Peck Cheng berkata, pihaknya
mengharapkan siasatan dapat dilakukan seadilnya dan mereka yang terlibat
dalam kekecohan ini dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, program santai itu tidak memberikan sebarang ancaman kepada
orang ramai, selain mendapat kebenaran daripada pemilik kedai makan
berkenaan.
“Saya dan pimpinan DAP tidak faham sebab mereka menyerbu seterusnya melakukan kekecohan.
"Saya harap siasatan serta tindakan dapat dilakukan kepada mereka yang
terlibat agar tidak akan berlaku lagi di masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Adun Parit Ya’ani, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan
berkenaan tidak melambangkan budaya orang timur yang dikenali dengan
sopan santun.
Katanya, daripada insiden berkenaan pihak berkuasa perlu meneliti dan
memberikan perlindungan sewajarnya kepada wakil rakyat, sama ada dari
pihak kerajaan atau pembangkang.
“Sikap seperti ini sepatutnya dapat dielak memandangkan kita sedang
menuju menjadi negara maju dan seharusnya penduduknya perlu mempunyai
pemikiran matang, bukan seperti kelas ketiga.
“Daripada insiden berkenaan sedikit sebanyak telah mencemar dan
menjejaskan imej Johor yang aman selama ini, juga dikhuatiri usaha untuk
menjadikan Johor lebih maju terbantut kerana pelabur lari akibat
bimbang dengan situasi yang berlaku,” katanya.
Ketiga-tiga pemimpin berkenaan juga berharap agar Menteri Besar, Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin dapat memohon maaf secara terbuka, kerana
kejadian berkenaan berlaku di dalam kawasannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan