KITA, rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, nampaknya sangat mudah dipesongkan dan sangat cepat lupa.
Kerana
asyik bercakap mengenai akaun bank AS$700 juta (RM2.6 bilion) milik Perdana
Menteri Mohd Najib Abdul Razak,
kita seolah-olah lupa isu sebenar, iaitu penyiasatan ke atas 1MDB.
Kita
kena terus tumpu perhatian kepada 1MDB kerana inilah punca masalah dan dari
sinilah bermulanya jejak wang (money trail) yang berpuluh-puluh bilion itu.
Alhamdulillah,
nampaknya sejak seminggu dua ini selera dan modus operandi badan-badan
penyiasat telah berubah. Daripada mata kasar, nampak mereka lebih serius,
bebas, terbuka dan telus menyiasat hal-hal berkaitan 1MDB, termasuk akaun
Perdana Menteri (Datuk Seri) Mohd Najib Abdul Razak di AmBank Islamic.
Sampai
saat ini pun Mohd Najib tidak menafikan yang akaun itu pernah wujud. Ia dibuka
sebelum pilihan raya umum (PRU) 2013 dan ditutup beberapa bulan selepas itu.
Beliau hanya berkata, beliau tidak menggunakan tabung negara untuk kepentingan
diri beliau sendiri.
Penubuhan
Pasukan Petugas mengandungi Pejabat Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia,
Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia menambahkan
keyakinan bahawa penyiasatan pada peringkat ini adalah lebih bebas, berani dan
telus.
Alhamdulillah,
Peguam Negara (Tan Sri) Abdul Gani Patail, nampaknya lebih gigih dan berani
menyiasat. Namun kita belum boleh lagi mencurahkan air di tempayan kerana
mendengar dentuman guruh di langit. Macam orang putih kata, "anything can happen" (apa saja boleh berlaku.)
Pasukan Petugas perlu membongkar dan memperjelaskan
modus operandi 1MDB, khususnya yang berkaitan dengan pinjaman-pergi-balik
melibatkan PetroSaudi dan pembelian penjana elektrik bebas (IPP) kerana disyaki
berlaku penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, bayaran bawah kaunter dan rasuah.
Tidak dapat dinafikan lagi iaitu 1MDB membayar harga yang
sangat tinggi bagi membeli IPP tua yang hampir tamat tempoh konsesinya. Kalau
konsesi mereka tidak disambung, IPP berkenaan akan menjadi harta TNB dengan
bayaran RM100 sahaja.
Rakyat jelata tentu ingin tahu bagaimana sebuah syarikat
Kementerian Kewangan yang menterinya Mohd Najib sendiri boleh berhutang hingga RM42
bilion dengan modal berbayar hanya RM1 juta tanpa Kabinet mengetahuinya.
Apa
yang strategik mengenai perniagaan hartanah dan utiliti (elektrik dan air)
sedangkan kita sudah pun ada banyak syarikat dan agensi kerajaan yang
berpuluh-puluh tahun menjalankan perniagaan seperti itu - Sime Darby dan UEM
dalam hartanah dan TNB dalam bidang tenaga?
Yang
nampak strategik dalam erti kata yang mencurigakan ialah kerajaan menjual tanah
milik negara kepada 1MDB dengan harga sampah - orang putih kata “dirt cheap” -
(sekitar RM60 sekaki persegi) dan menjualnya 40 hingga 50 kali lebih tinggi.
Tabung Haji, misalnya, membeli dengan harga RM2,700 sekali persegi. Kalau
setakat jual-beli tanah itu bukan strategik namanya.
Ancaman Terhadap Kedaulatan Negara
Kita
juga hendak tahu apakah potensi ancaman terhadap kedaulatan negara apabila 1MDB
berhutang berbilion-bilion ringgit daripada pihak asing seperti International Petroleum Investment Company (IPIC), PetroSaudi dan Aabar?
Apakah
yang dicagarkan kepada IPIC sehingga mereka sanggup meminjamkan AS$1 bilion
(RM2.7 bilion) kepada 1MDB Mei lalu?
Kita
hendak tahu apakah ancaman terhadap kedaulatan negara kita apabila Singapura
tahu rahsia usus niaga 1MDB di republik itu.
Pihak
Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) tahu apa sebenarnya berlaku dengan duit 1MDB
di Singapura yang pada mulanya tunai, kemudian jadi sijil harta dan lepas itu
“unit”.
Kalau
penyiasatan MAS tidak menemui apa-apa yang buruk tentulah Bank Negara dan media
arus perdana telah mencanangkannya. Sebaliknya apabila MAS menyerahkan laporan
siasatannya kepada Bank Negara, Gabenor (Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz berkata ia
adalah rahsia.
Kita
takut maklumat yang ditemui oleh MAS dan pihak-pihak luar yang lain digunakan
sebagai “leverage” untuk memeras ugut pemimpin kita.
Kita
mahu tahu Pasukan Petugas memberi pencerahan kepada kita mengenai peranan Jho
Low yang terbukti sangat akrab dengan Mohd Najib, keluarganya serta ramai lagi
pembesar dan pegawai tinggi Kerajaan Malaysia.
Apakah
keistimewaan “dealmaker” kelahiran Pulau Pinang ini sehingga beliau begitu
bebas dan terlindung?
Jhlo Low (kiri sekali) bersama Najib dan keluarga |
Alhamdulillah
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akhirnya membuat kenyataan umum bahawa ia akan memanggil Jho Low untuk
memberi keterangan dalam siasatannya mengenai 1MDB.
Sekiranya
Jho Low enggan bekerjasama, PAC wajib membuat laporan polis terhadap beliau
supaya dengan itu PDRM boleh meminta bantuan Polis Antarabangsa, Interpol untuk
mengesan beliau.
Kalau
beliau tidak bersalah atau tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, beliau
tentu berani kembali ke tanah air sendiri untuk menghadapi PAC dan membersihkan
namanya.
Kesan Jangkitan 1MDB
Masalahnya, 1MDB hanyalah salah satu daripada banyak isu
yang menyebabkan politik dan ekonomi kita dalam keadaan kacau-bilau dan amat
membimbangkan.
Ada
banyak lagi isu yang menyebabkan ekonomi kita tertekan dan kita mengalami
defisit keyakinan (confidence deficit) yang teruk.
Kita
belum lagi mendedahkan secara terperinci apa yang telah dan sedang berlaku
dalam syarikat dan agensi terpilih seperti Tabung Haji, Felda, Felda Global
Ventures (FGV), SRC International Sdn Bhd, Pembinaan PFI Sdn Bhd dan tabung-tabung pelaburan seperti Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP).
Yang
kita tahu dan sudah pun didedahkan adalah tabung-tabung pelaburan ini, termasuk
Tabung Haji, telah pun memberi hutang berbilion ringgit kepada 1MDB dengan
membeli bon-bon serta tanah miliknya.
Pencarum
Tabung Haji, khususnya dan umat Islam amnya, tentu ingin tahu mengapa tanah TRX
dijual pada harga yang sangat tinggi kepada Tabung Haji sedangkan Tabung Haji
telah pun memberi pinjaman RM920 juta kepada 1MDB dengan membeli bon-bonnya.
Tapak TRX: Beli murah daripada kerajaan dan jual mahal |
Kerana
1MDB, Tabung Haji terpaksa berbohong dan membuat tipu helah. Pengerusi Tabung
Haji, (Datuk Panglima) Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pada 26 Mei, banyak
pihak berminat membeli tanah Tabung Haji di TRX dengan keuntungan
sekurang-kurangnya RM5 juta, tapi sampai hari ini pun belum ada khabar berita
yang tanah itu sudah dijual.
Keadaan
juga tenat di FGV yang merupakan periuk nasi peneroka Felda dan keturunan
mereka. FGV diuar-uarkan sebagai penanda aras IPO apabila sahamnya dijual
kepada orang ramai sebelum PRU 2013.
Sekarang,
selain menderita keruntuhan harga minyak kelapa sawit dan getah, FGV juga
mengalami persepsi pasaran yang negatif akibat urus niaganya.
Harga
sahamnya di Bursa Malaysia merudum daripada harga IPO RM4.55 kepada RM1.65 pada
10 Julai. Ini bermakna pelabur, termasuk Koperasi Permodalan Felda yang
mewakili peneroka Felda telah rugi lebih 60 peratus.
Orang kepercayaan Mohd Najib di Felda, FGV |
Sekarang
FGV terpaksa menjual aset-asetnya di Amerika dan Kanada untuk menampung kos
pelaburan itu serta memperbaiki kedudukan kewangannya yang goyah. Keuntungan
tahun 2014 jatuh kepada RM20.21 juta berbanding RM982.2 juta tahun 2013.
Masalahnya
bukan 1MDB sahaja berniaga dengan berhutang, tetapi beberapa buah syarikat
Kementerian Kewangan yang lain pun melakukan hal serupa, misalnya Pembinaan PFI
Sdn Bhd yang berhutang lebih RM25 bilion dengan KWSP sementara SRC
International berhutang RM4 bilion dengan KWAP.
Jadi
sebenarnya kalau kita faham ekonomi, perniagaan dan kewangan kita akan berasa
sangat bimbang dengan apa yang sedang berlaku sekarang.
Nampaknya
bukan sahaja rakyat jelata hidup dengan berhutang, tapi kerajaan dan
syarikat-syarikatnya pun berhutang dalam jumlah yang sangat besar.
Hari
ini hutang kerajaan sudah pun mencecah tahap maksimum, iaitu 55 peratus
daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebab itulah apabila syarikat
penarafan antarabangsa Fitch menaikkan taraf hutang Kerajaan Malaysia daripada
negatif kepada stabil, para pelabur tidak yakin.
Kesimpulannya,
kita wajib kembali menumpukan perhatian kepada penyiasatan ke atas 1MDB kerana
dari situlah bermulanya jejak wang (money trail), nawaitu yang songsang,
kemungkinan pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah. Malah ada
orang kata, penderhakaan kepada negara (treason).
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan