Jumaat, 3 April 2015

Surat terbuka untuk Nawawi

Surat terbuka untuk Nawawi

 
Pemimpin perlu bertatatertib ketika mengeluarkan pendapat apatah lagi jawatan yang disandang adalah amanah daripda rakyat.


FMT LETTER
nawawi-ahmad



‘Sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa’

Secara jujurnya, saya amat terkilan dengan kenyataan ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Ir. Nawawi Ahmad yang mencadangkan rakyat Malaysia yang tidak puas hati dan enggan membayar GST supaya berpindah dan tinggal di bulan.

Adakah ini tatatertib seorang pemimpin tatkala berbicara? Tidakkah ibu bapa serta bekas guru YB mengajar cara berbicara dengan penuh adab dan sopan? Atau mungkin YB sendiri yang lupa akan didikan mereka sejak bergelar ahli Parlimen?

Wah, hebat sungguh nampaknya YB mendabik dada tika berbicara dengan rakyat jelata. Cara YB tak ubah seperti Tuan Besar berbicara dengan khadam-khadamnya. Tapi minta maaf ya YB, kami ini bukan khadam YB. Sesungguhnya, kamilah Tuan Besar di mana wang hasil penat lelah kamilah yang mengisi perut YB anak beranak.

“GST membantu negara dan akhirnya membantu rakyat. Jika negara bankrap maka rakyat pun mampus” – demikian ujar YB.

Mulia sekali ya hati YB serta sekutu-sekutu YB yang lain mahu membantu rakyat. Tetapi saya musykil, mengapa hanya kini mahu membantu rakyat dengan implimentasi GST sedangkan selama ini kami terpinggir?

Cuba YB beritahu, sudah berapa pilihanraya yang dimenangi oleh BN sejak kita beroleh kemerdekaan? Berapa banyak janji pula yang sudah YB dan rakan-rakan YB taburkan pada rakyat?

BN hanya pandai menanam tebu di tepi bibir namun janji tidak terkota. Lihat sajalah janji-janji pemimpin YB sebelum pilihanraya, lihatlah harga barangan yang kononnya akan dikawal, lihatlah apa sudah jadi dengan janji berkenaan Akta Hasutan.

Selancang-lancang mulut YB membebel meminta kami pergi mampus, bagaimana halnya dengan janji BN yang tidak pernah dikotakan? Bukankah YB dan rakan-rakan yang sepatutnya pergi mampus?

Cuba lihat negara kita, YB. Masih terdapat kawasan penempatan yang tiada bekalan air bersih dan elektik, tiada jalan raya bertar. Kawasan luar bandar masih mundur terutamanya di Malaysia Timur. Penduduk kita pula hampir 40 peratus berada di paras kemiskinan.

Setiap tahun YB serta sekutu duduk mengira peruntukan untuk rakyat jelata. Berbillion dan berjuta kononnya untuk pembangunan negara serta rakyat tetapi kami masih menantikan pembangunan yang sebenar-benarnya, YB.

Acapkali kami bergelumang dengan kenaikan kos sara hidup, kemerosotan prasarana awam, kelembapan kenderaan awam, kedaifan sistem pendidikan. Bila agaknya BN mahu membuktikan keikhlasan ketika mencanangkan slogan Rakyat Didahulukan, YB?

Jika kerbau diikat pada hidungnya, manusia diikat pada janjinya. Nampak gayanya BN lebih teruk daripada kerbau.

Lihat sajalah betapa mewah upacara perkahwinan anak pemimpin YB. Lihat juga deretan jet peribadi pemimpin YB hasil titik peluh kami. Sekutu-sekutu YB tinggal di mahligai mewah, naik kereta import, berbelanja besar, bercuti di luar negara, anak-anak mendapat pendidikan kelas pertama di negara Barat, sedangkan kami yang membiayai semua perbelanjaan tersebut bergelumang dengan kepayahan hidup.

Yang sebenarnya YB, slogan BN seharusnya ditukar kepada ‘Pemimpin Didahulukan’.

Ingatlah YB, tanpa sokongan rakyat, tiadalah wakil rakyat, tiada ahli parlimen, tiadalah menteri, tiadalah perdana menteri. Tanpa sokongan rakyat tiadalah BN.

YB dan rakan sewajarnya membela rakyat dengan menitik beratkan kebajikan kami serta berusaha memperoleh kepercayaan kami, bukannya dengan bersikap kurang ajar. Rakyat tidak seharusnya menjadi tempat pemimpin seperti YB menunjuk-nunjuk kuasa.

Pemimpin yang bermegah-megah dengan kuasa yang ada serta menggunakannya bagi memijak dan mengherdik rakyat merupakan pemimpin yang kejam dan zalim.

YB, agama kita sendiri ada berseru bahawasanya untuk menjadi pemimpin, perlu ada kelayakan kerana jawatan pemimpin itu sendiri adalah satu amanah dan tanggungjawab.

Sesungguhnya pangkat dan status tidak mencerminkan keperibadian seorang manusia. Atau adakah YB sudah lupa akan agama?

Sudahlah YB, usahlah bermulut cabul jika sekadar temberang kosong sahaja. Lebih baik YB tumpukan usaha untuk memperbaiki taraf hidup rakyat di kawasan parlimen YB. Sekiranya YB gagal, mungkin ada baiknya jika YB sahaja yang berpindah duduk di bulan!.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Tuan blogger, salaam dan t.kasih atas tulisan yg berani dlm situasi akta hasutan dan kedzoliman berwenangan. Kemungkinan besar tulisan tuan tidak dibaca maupun tidak diindahkan oleh wakil rakyat Langkawi, atau tuan tuan dia, atau pihak polis atau para hakim, namun suara tuan sedikit sebanyak meluahkan keperitan yg terbuku dikalangan rakyat. Pun begitu, ia juga tetap dlm ilmu Allah yg maha prihatin, maha penyantun.